Kemuka Nama Calon Dalam 2 Minggu - Tengku Adnan

Diterbitkan: Isnin, 16 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan mula menghantar surat kepada pemimpin parti komponennya esok (Isnin), meminta supaya mereka menghantar senarai nama calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diarahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mereka diberi masa dua minggu untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.

"...esok saya akan tulis kepada semua pemimpin parti komponen seperti yang diarah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini, Ahad.

Katanya beliau juga difahamkan ada parti komponen yang tidak mahu lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini, sebaliknya menyarankan kawasan tersebut lebih sesuai ditandingi parti komponen lain.

Bagaimanapun perkara itu belum dapat disahkan, katanya.

Mengenai senarai calon Umno, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung parti itu, berkata saringan peringkat pertama telah selesai dan senarainya akan dihantar kepada presiden parti tidak lama lagi.

Presiden parti yang juga pengerusi BN, kemudiannya akan mewujudkan jawatankuasa sendiri bagi menyaring lagi semua nama calon yang diterimanya, termasuk senarai calon dari parti-parti komponen lain, bagi memilih calon yang paling sesuai untuk bertanding, katanya.

Merujuk kepada nama yang dicadangkan Umno bahagian, Tengku Adnan berkata semua bahagian diminta mengesyorkan tiga nama, namun ada yang menghantar lebih daripada tiga, ada yang hanya menghantar satu nama, dan ada yang minta dikekalkan muka lama.

Beliau berkata ada juga bahagian yang mengesyorkan nama calon yang berada di luar bahagian berkenaan selain pemimpin pertubuhan bukan kerajaan yang dirasakan mampu membawa kemenangan di kawasan mereka pada pilihan raya nanti.

"Ini menunjukkan bahawa mereka faham dengan apa yang yang disebutkan oleh Presiden parti yang berkehendakkan calon 'winnable' pada pilihan raya nanti," katanya.

Seramai 700 orang menerima BR1M pada majlis hari ini yang turut menyaksikan pemberian komputer 1Malaysia kepada 1,000 pelajar yang layak. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan