Aman Palestin Memasuki Gaza Selepas 30 Jam Pengalaman Pahit - Berita Semasa | mStar

Aman Palestin Memasuki Gaza Selepas 30 Jam Pengalaman Pahit

Diterbitkan: Ahad, 15 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GAZA: Misi kemanusiaan Aman Palestin (AP) VIII akhirnya memasuki Semenanjung Gaza selepas 30 jam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menyeberang sempadan Rafah selepas melepasi 14 sekatan.

Ketua Pegawai Eksekutif AP, Awang Suffian Awang Piut berkata, walaupun ia sebenarnya satu perjalanan yang panjang tetapi ia berbaloi untuk menunggu apabila pasukan itu disambut pemimpin berpengaruh Gaza yang juga Pengerusi Darul Quran dan Sunnah, Dr Abdul Rahman Jamal.

“Kami berasa bangga bahawa lawatan kami disambut oleh seorang yang berpengaruh di sini. Kami semua berasa terharu dengan kehadirannya,” katanya dalam satu majlis ringkas yang diadakan selepas memasuki sempadan, di sini.

Delegasi 21 rakyat Malaysia itu termasuk ahli perniagaan, para pegawai dan media dengan Muhammad Razique, dua tahun, sebagai anggota sukarelawan termuda.

Misi kemanusiaan AP VIII itu berada di Gaza bagi menyerahkan bekalan perubatan, generator, sebuah stesen penyahgaraman dan bertemu 500 anak yatim yang ditaja AP.

Pasukan itu juga akan melawat beberapa kawasan pertanian dan ternakan di Gaza bagi mewujudkan perniagaan kecil untuk rakyat Palestin di sini yang dikenakan sekatan sejak 2009.

Aman Palestin, sebuah organisasi pertama hasil inisiatif Malaysia di Semenanjung Gaza memulakan kegiatan amal pada 2006 terutamanya bagi melaksanakan projek-projek bagi menambahbaik khidmat perubatan dan keadaan mangsa pelarian. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan