Gerakan Teliti Senarai Calon PRU13

Diterbitkan: Sabtu, 14 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Parti Gerakan sedang meneliti senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) untuk parti itu sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata setiap calon yang disenaraikan itu akan menjalani beberapa proses termasuk saringan daripada beberapa pihak yang tidak berkepentingan dalam parti. "Kita dalam proses akhir menyenaraikan nama calon sebelum menyerahkan kepada Presiden Barisan Nasional (BN) (Najib). Bagaimanapun, senarai nama yang berpotensi itu akan menjalani beberapa proses termasuk saringan.

"Senarai calon yang ada juga terdiri daripada gabungan muka lama dan baru," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu, Koh merasmikan Karnival Yuan di Autocity Juru, di sini, Sabtu.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata BN Pulau Pinang sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Kita tidak perlu melancarkan jentera (BN negeri) kerana semua pemimpin dan anggota BN di Pulau Pinang memang telah bekerja keras sejak tahun lepas.

"Jentera BN juga dalam mood pilihan raya dan tunggu masa sahaja," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan