Proses Demokrasi Di Myanmar Tidak Akan Berubah - PM

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berkata beliau percaya proses ke arah pendemokrasian dan tadbir urus lebih inklusif di Myanmar tidak akan berubah.

Perdana Menteri berkata berkata beliau yakin pandangan itu turut dikongsi oleh banyak orang di Myanmar, dan atas sebab itu, Sidang Kemuncak Asean baru-baru ini mencadangkan kepada negara-negara yang mengenakan sekatan terhadap Myanmar supaya menyemak semula atau sekurang-kurangnya menangguhkan sekatan itu.

Najib berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Myanmar U Thein Sein di Naypyitaw baru-baru ini, beliau percaya presiden itu ikhlas dalam melaksanakan pembaharuan di Myanmar, dan ini disokong oleh kenyataan bekas tahanan politik Aung San Suu Kyi mengenai presiden itu.

Beliau menegaskan adalah penting untuk memberi sokongan kepada Thein Sein, supaya beliau berasa bersemangat sekiranya beliau mendapat sokongan daripada masyarakat antarabangsa.

"...kerana akan wujud elemen yang mahu mengambil pendekatan lebih konservatif, pendekatan bersifat lebih totalitarian (di Myanmar), yang pastinya tidak baik untuk masa depan Myanmar," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Britian David Cameron.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan pelaburan dan perdagangan ke atas Myanmar berikutan pemerintahan tentera hampir lima dekad di negara itu.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum di Myanmar pada 2010, tentera junta telah dibubarkan dan Yangon membuat beberapa perubahan dramatik, termasuk membuka peluang kepada pembangkang di negara itu bertanding dalam pilihan raya kecil 1 April, membebaskan ratusan tahanan politik, menandatangani perdamaian dengan kumpulan-kumpulan pemberontak dan melonggarkan sekatan ke atas media.

Sementara itu, Cameron, yang tiba di sini petang ini bagi lawatan dua hari ke Malaysia berkata Britain memainkan peranan utama dalam EU dalam mengenakan sekatan ke atas regim Myanmar bagi mendesak negara itu melakukan pembaharuan dan Britain akan memberikan respons sewajarnya sekiranya ia berpuas hati bahawa berlaku perubahan yang sebenarnya di Myanmar.

"Dalam dunia ini, terdapat banyak bab mengenai sejarah hitam dan menyedihkan dicatatkan, namun terdapat juga potensi bab mengenai cahaya (perubahan) sedang ditulis di Burma (Myanmar) di mana wujud prospek bagi demokrasi dan lebih kebebasan," katanya.

"Aung San sendiri telah menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya memperjuangkan kebebasan dan demokrasi di Burma, dan percaya yang beliau (Thein Sien) melakukannya dengan niat baik, sebab itu kenapa saya mahu melawat Burma untuk melihat dan mendengar sendiri apa yang berlaku di sana," katanya.

Sementara itu, mengenai Syria, Cameron berkata tidak disangkal lagi tarikh akhir yang ditetapkan bagi pelan damai yang disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah tidak dipatuhi oleh Presiden Syria Bashar Assad.

"Pelan PBB telah dilanggar, dan akibatnya, saya fikir kami perlu mengambil tindakan tegas, termasuk dalam kalangan PBB, untuk meletakkan tekanan ke atas Syria," katanya.

Menurut kumpulan pemantau baru-baru ini, lebih 6,000 orang terbunuh sejak pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad mengambil tindakan kejam ke atas penunjuk perasaan yang mengggesa bagi demokrasi.

Cameron berkata mesejnya adalah mudah iaitu mengelakkan perang berdarah dengan orang awam yang memberontak, perlukan peralihan pucuk pimpinan.

"Lagi cepat peralihan berlaku, lagi cepat rakyat Syria berpeluang menikmati kebebasan dan keselamatan yang pastinya tidak mereka nikmati ketika ini," katanya.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia dan Britain sependapat dalam beberapa isu seperti Myanmar dan Syria. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan