"Kalau Ada Bukti Bawa Bukti Itu Ke SPR" - Wan Ahmad

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada keperluan untuk tunduk dengan desakan ahli jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mahu semua anggotanya meletak jawatan serta merta kerana didakwa gagal membersihkan beberapa keraguan dalam daftar pemilih.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tiada kuasa untuk melakukan desakan sedemikian kerana SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

"Siapa Bersih yang ada kuasa untuk meminta panel SPR meletak jawatan? Sudahlah mereka NGO yang tidak berdaftar. Tak guna adakan sidang media kerana pokoknya isu daftar pemilih melibatkan urusan teknikal," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Wan Ahmad berkata, jika Bersih komited mahu bekerjasama menjamin pilihan raya yang bersih dan adil, NGO tersebut perlu mengemukakan bukti dan berunding dengan SPR mengenai isu berkenaan.

"Kita minta mereka datang ke pejabat SPR, bawa bukti dan kita akan beri penjelasan kenapa masalah seperti itu berlaku.

"Mereka tidak faham apa kekangan yang kita hadapi sehingga menyebabkan masalah teknikal ini terjadi," katanya.

Beliau berkata, SPR sentiasa berusaha untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini lebih telus dan adil serta sanggup berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya selama enam bulan.

"Kita sudah beri jaminan bahawa mutu daftar pemilih akan dipertingkatkan malah perkara ini sudah dipersetujui dalam PSC yang turut disertai tiga wakil rakyat pembangkang," katanya.

Jelas beliau, SPR sedia berunding dengan Bersih (walaupun ia bukan pertubuhan yang berdaftar) untuk menyelesaikan isu daftar pemilih bagi memuaskan hati pelbagai pihak terutamanya rakyat yang akan menentukan masa depan negara.

Pada minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan laporan PSC tanpa perbahasan sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ketika sesi perbahasan.

Menurut Wan Ahmad, beliau terkilan dengan sikap pembangkang yang enggan membahaskan laporan itu hanya disebabkan 'laporan minoriti' yang sengaja dibangkitkan mereka.

"Saya hairan kerana 22 syor penambahbaikan yang diputuskan sebelum ini dipersetujui bersama oleh wakil mereka dalam jawatankuasa itu tanpa sebarang masalah," katanya.

Pada Khamis, Bersih mendesak semua ahli panel SPR termasuk pengerusinya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta atas alasan rakyat sudah tidak lagi yakin dengan badan pengendali pilihan raya itu.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mendakwa ahli-ahli panel SPR yang ada sekarang tidak lagi diyakini rakyat khususnya membabitkan status daftar pemilih.

Menurut Samad, terdapat lebih 400,000 pengundi yang meragukan dalam daftar pengundi dan nama-nama tersebut dikesan oleh Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap).

Wan Ahmad berkata, ruang bagi kedua-dua pihak untuk membincangkan perkara itu masih terbuka, bukannya memaksa rakyat terlibat menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Bersih seolah-olah hilang arah tuju. Mereka dilihat seperti memperjuangkan agenda tertentu untuk mengucar-kacirkan negara," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan