Cuepacs Mahu Pengerusi Neutral Dilantik Ketuai Suruhanjaya Khas Kaji Perkhidmatan Awam

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu seorang pengerusi berfikiran neutral dilantik bagi mengetuai Suruhanjaya Khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam di negara ini.

Timbalan Presidennya Azih Muda, berkata langkah itu perlu untuk meyakinkan semua pihak terutamanya seramai 1.4 juta penjawat awam bahawa kerajaan serius meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata rakyat menerusi pelaksanaan agenda transformasi.

"Kalau boleh, kami berharap suruhanjaya ini dapat dilaksanakan segera dan harap pengerusi (suruhanjaya) itu seorang yang bebas dari segi pemikirannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum "Peranan Dan Cabaran Dalam Merealisasikan Transformasi Negara" yang dirasmikan Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng di sini, Khamis.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Lok ketika mengulas mengenai perkara sama berharap Cuepacs turut diberikan peluang untuk menganggotai suruhanjaya itu. Dalam perkembangan lain, Lok berkata kenaikan gaji baru penjawat awam di bawah SSM adalah hasil perjuangan Cuepacs dan bukannya oleh parti politik tertentu.

Beliau berkata ini kerana pelarasan gaji mengikut SSM antara tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam itu adalah kerana kerjasama baik antara pihaknya dengan Kerajaan Pusat.

Sehubungan itu, Lok menggesa pihak tertentu tidak mempolitikkan perkara berkenaan kerana ia hanya akan mengelirukan rakyat yang banyak menerima maklumat tidak tepat.

Beliau turut berkata seramai 1,000 anggota Cuepacs dikenal pasti menyertai Skuad Pengguna yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memantau harga barangan keperluan di negara ini.

"Misalnya, kalau harga ayam naik, ahli Cuepacs perlu melaporkannya dan jika kita bekerjasama, kita boleh boikot barangan keperluan asas yang naik harga," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan