Bersih 3.0: DBKL Belum Terima Permohonan Guna Dataran Merdeka

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur perhimpunan Bersih 3.0 yang bercadang berhimpun di Dataran Merdeka 28 April ini.

Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup berkata, permohonan oleh mana-mana penganjur sebelum mengadakan sesuatu program atau acara di lokasi itu adalah prosedur biasa yang ditetapkan DBKL.

"Kita masih belum terima, walaupun sepatutnya macam itulah (buat permohonan)," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Salleh berkata selepas permohonan diterima, DBKL akan membuat penelitian dan seterusnya membuat keputusan sama ada memberi kelulusan atau sebaliknya.

"Sama juga dengan perhimpunan Bersih 3.0, kalau terima permohonan kita kena tengok balik...bincang, buat pertimbangan dengan pengurusan.

"Kalau sudah dapat permit polis, kita minta tengok permitnya," katanya.

Menurut Salleh, setakat ini pihaknya tidak mempunyai masalah memberi kelulusan untuk mengadakan program atau acara di Dataran Merdeka kepada pemohon terutama program berunsur kemasyarakatan.

Dataran Merdeka merupakan lokasi awam yang terletak di bawah tanggungjawab DBKL.

Jelasnya, syarat yang ditetapkan juga tidak terlalu ketat seperti tidak mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam, tidak menghalang lalu lintas dan aspek kebersihan tidak diabaikan.

"Biasanya kita tak ada masalah dan kita luluskan. Banyak acara dibuat di sini. Hari Merdeka, Hari Polis, Sambutan Tahun Baru, Citrawarna dan banyak lagi," jelasnya.

Salleh bagaimanapun tidak menafikan perhimpunan Bersih 3.0 berbeza dengan acara yang pernah diadakan di lokasi sama kerana himpunan "Duduk Bantah" seperti itu tidak pernah dilakukan.

"Kita tak pernah lagi terima permohonan untuk berhimpun macam ini. Tapi kalau demonstrasi jalanan memang kita tak benarkan.

"Sebab itu saya kata kena tengok dulu permohonan (jika dibuat) dan teliti," katanya.

Bersih 3.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan dilakukan secara aman di seluruh negara bertujuan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan yang didakwa terus memanipulasi sistem pilihan raya untuk memastikan kemenangan parti yang memerintah.

Keputusan tersebut diumumkan sehari selepas laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan proses pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat.

Laporan akhir yang dibentangkan PSC mencadangkan 22 cadangan bagi memperbaiki perjalanan sistem pilihan raya di negara ini.

Bagaimanapun hanya 18 daripada 22 cadangan tersebut diterima oleh semua ahli jawatankuasa PSC.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan