Yang di-Pertuan Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja

Diterbitkan: Rabu, 11 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong berlangsung dalam suasana berwarna-warni malam Rabu.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat masuk ke Dewan Santapan Istana Negara kira-kira pukul 9 malam diikuti Raja-raja Melayu.

Majlis santapan itu turut dihadiri wakil Sultan Brunei, Datuk Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan isteri Pengiran Anak Isteri Sarah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet, duta-duta asing dan pegawai kanan kerajaan.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berdua dan hadirin disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian yang diiringi Orkestra Bertali.

Turut memeriahkan majlis adalah penyanyi wanita tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor.

Dalam istiadat yang berlangsung penuh gilang-gemilang dan penuh tradisi pagi tadi, Tuanku Abdul Halim telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14.

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Baginda menggantikan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 12 Disember 2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan