Tribunal Hakcipta Dapat Kuasa Lebih Luas Jun Ini - Ismail Sabri

Diterbitkan: Selasa, 10 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tribunal Hakcipta akan memperoleh kuasa yang lebih luas setelah Akta Hakcipta 1987 (pindaan 2010), dikuatkuasakan Jun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia antara tiga perkara utama yang dimuktamadkan hasil pertemuan ketiga antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan wakil penggiat Industri Kreatif Negara, Selasa.

Katanya selain itu, pertemuan juga turut memuktamadkan Pewujudan Peraturan Pendaftaran Badan-badan Kutipan Royalti, dan Peraturan Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela.

"Hasil pertemuan ketiga ini, persetujuan telah dicapai, draf telah selesai dan akan diserahkan kepada Peguam Negara secepat mungkin. Kita jangkakan peraturan baru ini akan dapat diimplementasi mulai Jun tahun ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pertemuan bersama wakil penggiat Industri Kreatif Negara berkaitan penderafan Peraturan-peraturan Akta Hakcipta (Pindaan 2010) di pejabat MyIPO, di sini. Kira-kira 30 wakil penggiat seni hadir pada pertemuan tersebut.

Berhubung badan pengutip royalti, Ismail Sabri berkata antara syarat yang perlu dipatuhi sebelum kutipan royalti dibuat ialah perlu berdaftar dengan kementerian itu selain mendapat mandat sekurang-kurang dari 50 artis naungan masing-masing.

Beliau berkata setakat ini, Badan Kutipan Royalti yang aktif adalah Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) dan Prism Sdn Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPM, Tan Ngiap Foo berkata, pihaknya bersetuju dengan hasil perbincangan yang dijalankan dan akur dengan syarat perlu mendaftar sebelum dibenarkan mengutip royalti.

Penyanyi, Ana Rafali pula berharap peraturan baru yang diluluskan itu akan membantu menjaga kebajikan artis.

"Saya yakin peraturan baru yang akan diimplementasi dapat menjaga kebajikan artis dan membantu karya pemuzik agar lebih terpelihara," katanya. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan