Rang Undang-Undang Laut Wilayah Di Bentangkan

Diterbitkan: Selasa, 10 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Laut Wilayah 2012 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Rang Undang-undang itu dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Ia bagi menggantikan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969, Ordinan Darurat yang telah dibuat di bawah Proklamasi Darurat 1969.

Dewan Rakyat pada Disember lepas merungkaikan tiga Proklamasi Darurat iaitu Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1979.

Fasal 3 pada Rang Undang-undang Wilayah Laut 2012 itu antaranya mencadangkan peruntukan bagi had laut wilayah Malaysia diadakan berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982, iaitu lebar laut wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika.

Fasal 4 pula memperuntukkan kedaulatan berkenaan dengan hak laut wilayah, dasarnya dan tanah bawahnya, terletak dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, manakala Fasal 5 adalah berkaitan peruntukan bagi peta dan carta had laut wilayah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan