Program Tukar Tiada Kaitan Dengan GST

Diterbitkan: Selasa, 10 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) langsung tidak mempunyai kaitan dengan rancangan untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata demikian untuk menyangkal dakwaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) kononnya program itu adalah untuk menyediakan peruncit di negara ini bagi melaksanakan GST.

Sebaliknya, Tan menjelaskan bahawa program itu adalah bagi membantu para peruncit memodenkan perniagaan mereka supaya boleh bersaing dengan pasar raya lebih besar. "Di samping, maklum balas yang didapati daripada peserta Tukar menunjukkan peningkatan jualan harian mereka telah mampu meningkat dari 10 peratus kepada sehingga 400 peratus," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis), Tan berkata tahun lepas, sebanyak 519 buah kedai runcit termasuk kedai runcit koperasi telah dimodenkan di seluruh negara, melepasi sasaran 500 buah kedai yang ditetapkan.

Manakala sehingga 6 April, sebanyak 107 buah kedai runcit telah berjaya dimodenkan manakala 393 buah kedai lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan