Klinik CC1M Karangan Yang Pertama Di Kedah

Diterbitkan: Selasa, 10 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Klinik Rawat dan Prihatin 1Malaysia (CC1M) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan mula beroperasi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Karangan, dekat sini Mei ini.

Ia merupakan klinik pertama seumpama itu di Kedah yang menyediakan perkhidmatan rawatan penagih dadah yang boleh diakses oleh semua pelanggan dalam sebuah masyarakat melibatkan klien, keluarga dan majikan.

Pengarahnya, Mohammad Nazir Mustaffa berkata dalam program itu seseorang penagih atau keluarga berkaitan boleh terus datang ke klinik CC1M tanpa bantuan pihak lain termasuk penguat kuasa atau polis bagi mendapatkan rawatan.

"Kriteria kemasukan tertakluk kepada klien datang sendiri secara sukarela, dirujuk oleh pihak ketiga, ibu bapa, pasangan, majikan atau pihak ketiga relevan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah 20 Anggota Polis Bantuan AADK, di Puspen Karangan, dekat sini Selasa.

Katanya peruntukan dan pelbagai kemudahan berhubung operasi klinik itu telah diluluskan dengan seorang Pembantu Perubatan (MA) tetap dan kakitangan terlatih akan ditempatkan di klinik berkenaan.

Mohammad Nazir berkata klinik CC1M pertama diwujudkan di Sungai Besi (Julai 2010), kedua di Bukit Mertajam (Oktober 2010) dan di Karangan merupakan yang ketiga di negara ini.

"Selain itu seorang doktor swasta yang akan membuat lawatan berkala di klinik tersebut untuk memberi nasihat atau konsultansi kepada pesakit-pesakit," katanya.

Beliau menjangka lebih 100 pesakit akan mengunjungi klinik itu dalam tempoh sebulan pertama beroperasi dan kerajaan dijangka akan membelanjakan RM15 kepada setiap kes yang dirawat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan