Tindakan ADUN Simpang Pulai Naik Podium Speaker, Tidak Wajar - Zambry

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) menaiki podium tempat duduk speaker adalah perbuatan yang tidak wajar serta mencemarkan sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12, Isnin.

Beliau berkata wakil rakyat itu tidak sepatutnya menimbulkan kekecohan pada sesi persidangan bermula hanya kerana soalan bertulis yang dikemukakannya tidak dijawab sepenuhnya oleh exco berkaitan.

"Saya tak tahu kenapa dia (Chan) boleh jadi begitu (naik ke atas podium) dan saya terkejut bila dia naik ke atas...beliau tidak sepatut bertindak begitu kerana hanya speaker yang berkuasa duduk di situ (podium).

Kalau marah sekalipun jangan sampai hilang perpaduan sehingga melakukan perkara tidak sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan itu di sini.

Beliau berkata apabila soalan yang diberikan kepada exco yang berkaitan tidak dijawab ia merupakan perkara biasa kerana itu hak kerajaan untuk menentukannya.

Sementara itu, Speaker DUN Datuk R. Ganesan ketika ditemui berkata beliau bertindak demikian mengikut perintah tetap 23 (1)(f) iaitu terdapat perkara yang tidak boleh dijawab kerana perkara itu adalah rahsia.

"Oleh yang demikian soalan yang ditanya tak dijawab...kemudian apabila saya bagi dia peluang untuk duduk, dia terus naik ke atas (podium) dan saya terpaksa ambil tindakan supaya dia keluar dewan," katanya.

"Saya ada bagi tahu ada soalan-soalan yang boleh dijawab dan ada yang tak boleh. Perkara yang dibangkitkan oleh Simpang Pulai seperti isu-isu pembalakan, kuari, tanah adalah perkara yang tak boleh dijawab secara lisan dan bertulis kerana ia mengikut perintah tetap yang mana ia adalah rahsia," katanya.

Persidangan DUN Perak hari ini 'panas' apabila Chan menimbulkan kekecohan sebelum sesi soal jawab bermula dengan secara tiba-tiba bangun dan meminta penjelasan dan menyatakan ketidakpuasan hati beliau berikutan empat daripada lima soalan bertulis mengenai pembalakan, kuari, pertanian dan projek infrastruktur awam tidak dijawab exco berkaitan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan