Tekun Diminta Percepat Proses Permohonan

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEGAMAT: Pengurusan Tekun Nasional diarah mempercepatkan proses permohonan pinjaman pemohon dengan memberikan hasil keputusan permohonan mereka sebelum akhir bulan Mei depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia bagi memastikan pemohon tidak menunggu terlalu lama untuk mengetahui keputusan permohonan pinjaman mereka.

"Berikan keputusan segera sama ada seseorang pemohon itu berjaya atau sebaliknya.

"Kalau berjaya, keluarkan kelulusan bersyarat untuk membolehkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan dalam tempoh tiga bulan," katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama usahawan Tekun kawasan Parlimen Segamat, Sekijang dan Parlimen Labis di Dewan Serbaguna, Segamat di sini, Ahad.

Katanya, beliau menyedari Tekun Nasional menerima banyak permohonan termasuk di kalangan mereka yang ingin membesarkan perniagaan dan peminjam baru.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Tekun Nasional memberikan tumpuan terhadap peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan mereka berbanding permohonan baru yang memerlukan ketelitian sebelum diluluskan.

Katanya, sehingga kini Tekun telah meluluskan pinjaman sebanyak RM300 juta walaupun peruntukan yang diterima hanya RM120 juta.

Kemampuan itu adalah hasil daripada kebijaksanaan kakitangan Tekun Nasional yang berjaya mengutip bayaran balik hutang daripada peminjam-peminjam dengan baik sekali.

Berikutan itu, kerajaan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM300 juta pada tahun ini untuk memastikan lebih ramai usahawan mendapat bantuan pinjaman.

Katanya, sehingga kini hanya kira-kira 18 peratus sahaja daripada lebih 200,000 peminjam yang tidak menjelaskan bayaran balik pinjaman mereka sejak pinjaman tersebut diperkenalkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan