Jabatan Insolvensi Sahkan Terima Surat Berhubung Status Muflis Syed Sobri

Diterbitkan: Jumaat, 6 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Insolvensi pada Jumaat mengesahkan sudah menerima surat berhubung permohonan bagi mendapatkan status terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, surat tersebut dihantar ke pejabat cawangan di Kedah pada Khamis.

"Kita sudah terima surat itu semalam. Surat itu akan diberikan maklum balas selepas siasatan dilakukan secara menyeluruh," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Ketika ditanya sama ada surat tersebut diterima daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Abdul Karim hanya berkata:

"Kita tunggu siasatan penuh untuk maklum balas kepada pihak yang berkenaan."

Bagaimanapun, menurut sumber, Jabatan Insolvensi cawangan Kedah telah menerima surat bagi mendapatkan status terkini Syed Sobri daripada pejabat Menteri Besar Kedah pada Khamis.

Sumber itu berkata, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi mendapat maklumat mengenainya pada kira-kira pukul 10 malam Khamis.

"Ketua Unit Kebankrapan Jabatan Insolvensi cawangan negeri menerima surat itu daripada pejabat Menteri Besar Kedah," kata sumber itu, sambil memaklumkan kes Syed Sobri dikendalikan oleh jabatan itu bagi cawangan Kuala Lumpur.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dilaporkan media pada Khamis berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Jabatan Insolvensi pada Rabu bagi mendapatkan status ADUN Kuala Nerang itu.

Syed Sobri yang juga merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap dalam satu sidang akhbar pada Selasa memaklumkan bahawa beliau kini seorang muflis selepas gagal menyelesaikan hutangnya dengan sebuah bank tempatan sebanyak RM8 juta.

Menurut Syed Sobri, beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu.

Abdul Isa sebelum ini menyatakan beliau masih belum dapat membuat sebarang keputusan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap Syed Sobri kerana DUN Kedah perlu menunggu laporan daripada Jabatan Insolvensi.

Abdul Isa berkata, sekiranya sah telah muflis sejak Disember lepas, Syed Sobri perlu memulangkan elaun wakil rakyat yang diterimanya bagi Januari, Februari dan Mac tahun ini.

Beliau berkata, ini kerana menurut peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri, setiap wakil rakyat yang diisytiharkan muflis akan terlucut jawatannya secara automatik.

Syed Sobri dilaporkan berkata, hutang itu adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang dibuat pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan