Syed Sobri Muflis: Speaker DUN Kedah Tunggu Laporan Jabatan Insolvensi

Diterbitkan: Khamis, 5 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata pihaknya perlu menunggu laporan daripada Jabatan Insolvensi mengenai status muflis wakil rakyat Datuk Syed Sobri Syed Hashim sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Saya tidak boleh beri sebarang komen lagi kerana hanya mengetahui mengenai perkara itu (Syed Sobri muflis) daripada laporan media sahaja," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, Rabu.

Katanya surat untuk mendapatkan laporan lengkap berhubung status Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang itu telah dihantar kepada Jabatan Insolvensi pada Rabu.

Beliau berkata pihaknya juga masih belum mendapat sebarang makluman atau hitam putih daripada Adun berkenaan.

Katanya Syed Sobri perlu berjumpa dengan beliau dan memaklumkan bahawa dirinya telah muflis bagi membolehkan tindakan sepatutnya diambil.

Abdul Isa berkata, sekiranya sah telah muflis sejak Disember lepas, Syed Sobri perlu memulangkan elaun wakil rakyat yang diterimanya bagi Januari, Februari dan Mac tahun ini.

Beliau berkata ini kerana menurut peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri, setiap wakil rakyat yang diisytiharkan muflis akan lucut jawatan secara automatik.

Semalam, Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu mengumumkan dirinya muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

Syed Sobri dilaporkan berkata hutang itu adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Syed Sobri telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada beliau dalam satu pertemuan semalam.

"Dia ada jumpa saya semalam (Selasa) dan ceritakan masalah dengan pihak insolvensi dan beritahu dia tidak akan hadir sidang dewan nanti.

"Saya telah arahkan setiausaha majlis mesyuarat kerajaan negeri hubungi jabatan insolvensi untuk pastikan status dia," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan