Portfolio Phahrolrazi, Ismail Lebih Kecil

Diterbitkan: Khamis, 5 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Senarai portfolio anggota exco kerajaan negeri Kedah yang dikeluarkan selepas majlis angkat sumpah dua lagi exco di Istana Anak Bukit di sini pada Khamis menyaksikan perubahan agak ketara pada jawatan yang disandang Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Tahun lalu Phahrolrazi memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Selepas pelantikan pada Khamis Phahrolrazi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Perubahan itu adalah pengurangan portfolio Kerja Raya bagi Phahrolrazi, manakala portfolio Dr Ismail tiada lagi Kesihatan dan Pembangunan Insan.

Phahrolrazi ketika ditanya mengenai pengecilan portfolio itu berkata perubahan berkenaan adalah perkara biasa dan tidak memberi sebarang masalah kepada beliau.

"Perubahan memang berlaku, (exco) kanan atau tidak, sama juga masih tetap exco," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah itu.

Beliau berkata walaupun portfolionya berkurang namun tugasnya bertambah kerana perlu memberi fokus kepada pilihan raya umum yang dijangka sudah hampir.

Dr Ismail pula berkata beliau berterima kasih dengan pelantikan semula itu dan sebagai Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah (Phahrolrazi) dan Timbalan Pesuruhjaya II mereka kini perlu memberi lebih tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata walaupun portfolio dua exco berkenaan kurang berbanding tahun lalu, namun tugas mereka lebih banyak.

"Dua-dua ini timbalan saya, jeneral saya dalam nak hadapi pilihan raya, maka saya kurangkan mereka dari segi portfolio, pilihan raya itu yang kita nak fokus," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan