Kerajaan Selangor Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Kemampuan Jais

Diterbitkan: Khamis, 5 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji kemampuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyelesaikan konflik dan masalah dihadapi umat Islam, termasuk isu murtad.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu yang berkuatkuasa pada Rabu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Khusrin Munawi dan dianggotai oleh Pengarah Jais Datuk Marzuki Husin, Pengarah Penguatkuasa Jais Mohamad Rais Rashid, dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru Dr Rani Osman.

Jawatankuasa itu dibantu oleh dua pegawai undang-undang dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan Jais, kata Abdul Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Negeri di sini, Rabu.

Beliau berkata keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa itu diluluskan pada mesyuarat Exco hari ini yang dibuat berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi berhubung isu seperti murtad yang tidak kukuh untuk dibawa ke peringkat pendakwaan di mahkamah.

Untuk itu, jawatankuasa khas ini diberikan tanggungjawab merangka mekanisme dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan JAIS dalam mencari penyelesaian yang berkesaan bag mengatasi isu dan masalah yang membabitkan umat Islam, katanya.

Abdul Khalid berkata jawatankuasa itu diharapkan dapat menambahbaik usaha memartabatkan agama Islam di negeri ini selepas timbul dakwaan ada cubaan memurtadkan umat Islam yang didedahkan melalui video baru-baru ini.

Mekanisme yang dihasilkan oleh jawatankuasa ini akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan seterusnya akan disembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam Negeri, katanya.

Isnin lepas, Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali menayangkan dua rakaman video apa yang didakwanya pengakuan beberapa individu di negara ini yang pernah dimurtadkan oleh pergerakan sebuah agama lain.

Video berjudul 'Murtad' itu memaparkan audio-visual temubual pasangan suami isteri yang mendakwa pernah menjalani upacara masuk agama lain oleh pasangan mubaligh berkulit putih dari sebuah negara asing setelah tertarik dengan tawaran mereka.

Abdul Khalid berkata jawatankuasa khas itu akan memanggil Hasan jika perlu dalam penyiasatan ke atas dakwaannya itu.

Ditanya sama ada jawatankuasa itu ditubuhkan kerana kegagalan Jais dalam menanganai isu tersebut, beliau menafikan dakwaan itu malah berkata:

"Ia bukan kegagalan tetapi kejayaan negeri meningkatkan lagi usaha untuk memantau isu berkaitan umat Islam di Selangor."

"Jawatankuasa ini juga berada di bawah Jais dan diketuai oleh Mohamad Khusrin yang pernah memimpin jabatan itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan