Kemelut PAS Kedah Serlah Kepincangan Kerajaan Negeri - TPM

Diterbitkan: Khamis, 5 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Pelantikan semula dua anggota Exco Kedah yang sebelum ini menolak pelantikan sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Kedah memperlihatkan kepincangan kerajaan negeri pimpinan PAS, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Pemandu oleh PAS Pusat untuk memantau kerajaan negeri menjejaskan kredibiliti Menteri Besar yang hendak membuat kerja.

"Apabila satu orang dipilih menerajui kerajaan negeri, ia adalah amanah rakyat dan tidak boleh diperkecilkan. Menteri Besar buat kerja betul tapi kena rujuk dengan jawatankuasa. Bagaimana nak buat keputusan cepat?

"Sekiranya PAS ikut perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri, masalah ini tidak timbul. Jawatankuasa ini pula dianggotai oleh orang bukan rakyat Kedah. Macam mana nak penuhi kehendak rakyatnya," kata Muhyiddin semasa berucap pada perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri bersama peniaga kecil dan pemandu teksi negeri Kedah di sini, Khamis.

Katanya setiap keputusan Menteri Besar yang perlu merujuk Jawatankuasa Pemandu berkenaan hanya memperlahankan proses membuat keputusan dan akhirnya memberi kesan terhadap peniaga, rakyat dan ekonomi negeri.

Dua anggota exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh yang menolak pelantikan semula bersetuju dilantik semula selepas campur tangan PAS Pusat dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, Khamis.

Kedua-dua Exco berkenaan sebelum enggan dilantik semua kerana mempunyai perbezaan pendapat dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

Senarai Exco yang dikeluarkan selepas majlis angkat sumpah itu menyaksikan perubahan porfolio masing-masing dengan Phahrolrazi kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Sebelum ini, Phahrolrazi memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan