Abdullah Saran Pendidikan Bahasa Arab Diperluas

Diterbitkan: Khamis, 5 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyarankan agar pengajaran bahasa Arab diperluaskan kepada semua pelajar sekolah yang beragama Islam.

Beliau berkata usaha itu bukan untuk membebankan mereka sebaliknya bertujuan memberi manfaat daripada segi penguasaan pelbagai bahasa.

"Pelaksanaannya bukan lagi angan-angan dan ia sangat praktikal malah sudah ada pelajar di sekolah agama dan sekolah kebangsaan dapat menguasai tiga bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian bantuan wang pembangunan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Parlimen Kepala Batas, di Madrasah Nurul Huda, Penaga, di sini Khamis.

Beliau berkata rata-rata pelajar dari bangsa lain seperti Cina misalnya, berupaya menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Katanya cadangan itu juga sesuai dipratikkan kerana bahasa Arab kini sama penting dengan bahasa lain.

"Dengan menguasai bahasa Arab, hubungan kita khususnya sesama umat Islam lebih erat malah menjadi identiti kepada masyarakat Melayu Islam melalui penguasaan bahasa Arab," katanya.

Selain itu katanya, penguasaan bahasa itu juga dapat membantu pelajar mendalami pengajian al-Quran.

Pada majlis itu, Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas menyampaikan cek bernilai RM417,516.26 kepada 19 buah sekolah SAR dan Kafa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan