Tiga Kesatuan Bantah Cadangan Jawatan Utama Pentadbiran IPTA Dibuka Kepada Orang Luar

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Tiga kesatuan pada Rabu membantah cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuka jawatan utama pentadbiran institusi pengajian tinggi awam iaitu Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan kepada pihak luar.

Kesatuan itu diwakili Majlis Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (MASTI), Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA (GAKUM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mengadakan persidangan bersama selama lebih dua jam di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini bagi membincangkan isu berkenaan.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang juga Pengerusi Gakum, berkata cadangan untuk menempatkan orang luar memegang jawatan utama berkenaan adalah antara yang terkandung dalam rang pindaan Akta Univesiti Kolej Universiti (AUKU) 1974.

Omar berkata tiada perbincangan terperinci dilakukan bersama pihak kesatuan dalam pelaksanaan hal itu dan yang demikian, pihaknya berharap dapat menemui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Kita harap ia dapat diselesaikan sebelum dibawa ke Kabinet. Cadangan itu hanya akan menyekat peluang kepada orang lebih bekelayakan dalam IPTA. Jika bawa orang luar, kita bimbang hala tuju universiti tidak tercapai," katanya.

Omar berkata pada dasarnya setiap IPTA diperuntukkan hanya tiga jawatan utama pentadbiran iaitu Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan yang dilantik di kalangan staf pentadbiran melalui proses kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan beliau berharap cara itu akan dapat dikekalkan.

Satu memorandum berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jika Kementerian Pengajian Tinggi bertegas untuk membuka jawatan itu kepada pihak luar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan