Perkeso Kaji Caruman Untuk Mereka Bekerja Sendiri

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang mengkaji untuk memperluaskan sistem perlindungan sedia ada atau memperkenalkan sistem perlindungan baru untuk membolehkan mereka yang bekerja sendiri termasuk pemandu teksi mencarum.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, mereka yang bekerja sendiri memerlukan perlindungan dan kerajaan telah melakukan kajian mengenainya dengan pengkhususan kepada pemandu teksi.

"Pemandu teksi adalah golongan yang bekerja sendiri dengan tidak mempunyai majikan dan waktu kerja tertentu," katanya ketika menjawab soalan Charles Anthony a/l R. Santiago (PKR-Klang) di Dewan Rakyat, Rabu.

Charles Anthony ingin tahu sama ada kementerian bercadang memperkenalkan Skim Perkeso atau Skim Kesihatan bagi pemandu teksi yang ada di antara mereka berkerja sehingga 24 jam sehari.

Subramaniam berkata, kajian itu dilakukan terhadap 1,500 pemandu teksi di Lembah Klang bagi mendapatkan maklum balas mengenai cara kerja dan keperluan mereka yang bekerja sendiri.

"Kajian ini boleh membantu kita untuk menimbang keputusan yang akan diambil oleh kerajaan dalam memperluaskan perlindungan kepada pemanu teksi," katanya.

Beliau menjelaskan caruman kepada Perkeso adalah termasuk untuk Skim Bencana Pekerjaan yang dibiayai majikan manakala Pencen Ilat dibiayai majikan dan pekerja. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan