MCA Bantah Kilang Lynas Jika Tiada Jaminan Sisa Dihantar Ke Luar Negara

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA dengan tegas membantah pengeluaran lesen operasi kepada projek penapisan nadir bumi Lynas sekiranya syarikat itu tidak dapat menjamin sisa buangan dibawa keluar dari negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, selepas banyak perbincangan semasa mesyuarat Majlis Presiden MCA, para pemimpin tertinggi parti memutuskan akan menyampaikan keputusan itu kepada Kabinet dan Majlis Ekonomi Negara.

"Selagi mereka (Lynas) tidak dapat memenuhi syarat ini, MCA akan membantah Lynas mendapat lesen operasi," katanya selepas mesyuarat pada Selasa.

Terdahulu, Dr Chua berkata, MCA telah menyatakan tidak akan menyokong projek Lynas sekiranya terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahawa ia akan membahayakan rakyat dan alam sekitar.

"Tetapi seperti semua isu-isu lain di negara ini, ia telah ‘dirampas’ oleh DAP dan Pakatan Rakyat. Ia dipolitikkan sehingga semua orang di Pahang dan negara ini fikir perlu mengutuk projek ini," katanya.

Pada 26 Februari lalu, Ahli Parlimen-DAP Kepong, Tan Seng Giaw secara terbuka berkata, Parlimen perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mendengar kes Lynas tetapi Ahli Parlimen-DAP Bagan, Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan mengambil bahagian dalam pendengaran itu.

Pengarah Urusan Lynas Malaysia Sdn Bhd di Kuantan, Datuk Mashal Ahmad berkata, penapisan nadir bumi siap 91 peratus dan bersedia untuk memulakan operasi dalam masa tiga minggu.

Yang menjadi isu adalah lesen operasi sementara oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

“Lesen telah diluluskan tetapi kita masih belum menerimanya. Lynas telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan berhubung lesen yang akan dikeluarkan.

“Kami berharap ia boleh dikeluarkan tidak lama lagi kerana kami perlu memulakan operasi,” kata Mashal kepada pemberita di kilang itu di Gebeng di sini, Selasa.

Beliau menambah, ia akan mengambil masa sebulan untuk mengimport bahan nadir bumi mentah dan ia tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia tanpa lesen.

Mengenai isu berkenaan dengan loji itu oleh PSC, Mashal berkata, tindakan itu dialu-alukan.

“Kami bersedia dipanggil untuk memberi penjelasan. Lebih cepat, lebih baik,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan