Henti Politikkan Isu Pendidikan Cina, Tumpu Usaha Tingkat Kualiti Dan Kemajuan Semua Sekolah - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua pihak perlu berhenti mempolitikkan isu pendidikan Cina, dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti dan kemajuan pendidikan di semua sekolah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata usaha ini perlu bagi menambah daya saing negara menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang.

Menyentuh mengenai isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), beliau berkata kerajaan benar-benar komited dan serius dalam menyelesaikan isu tersebut dengan segera dan berkesan, dan antara langkah yang diambil ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Guru SJKC yang diketuai Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong, bulan lepas bagi menangani masalah tersebut.

"Langkah yang diambil ini bukan kerana tekanan yang dibuat oleh mana-mana pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, langkah-langkah sistematik, dasar yang seragam dan berterusan telah dan sedangpun diambil untuk menangani isu kekurangan guru di SJKC.

"Oleh itu, saya berharap masyarakat Cina menyambut baik langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang yang telah diumumkan oleh jawatankuasa tersebut pada 20 Mac lalu kerana sekolah rendah jenis kebangsaan tidak pernah diasingkan daripada sistem pendidikan negara," katanya.

Muhyiddin berkata isu ini perlu diperjelaskan agar gambaran sebenar dapat diberikan untuk menangkis dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap kerajaan dan kementerian itu.

"Dalam usaha memastikan proses pembelajaran dan pengajaran SJKC di seluruh negara berjalan lancar, setiap tahun Kementerian Pelajaran telah berusaha bersungguh-sungguh mengisi kekosongan guru-guru di SJKC," katanya.

Muhyiddin berkata pada tahun 2009, terdapat kekurangan 4,991 guru di SKJC dan pada 2010 jumlah itu dikurangkan kepada 3,043 orang dan kemudian menurun lagi kepada 2,720 orang pada 2011, dan tahun ini hanya 1,874 orang guru yang masih diperlukan.

"Daripada jumlah 1,874 orang itu, kementerian telah melantik sejumlah 1,482 guru sandaran untuk mengisi kekosongan tersebut. Baki kekurangan guru di SJKC hanyalah tinggal 392 orang, yang mana Guru Besar SJKC diberi kebenaran mencadangkan calon guru interim untuk dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri," katanya.

Muhyiddin berkata kementeriannya memperuntukkan 38,047 jawatan guru bagi SJKC dan sehingga akhir Januari tahun ini, seramai 36,173 guru terlatih telah ditempatkan di semua sekolah SJKC.

"Sebanyak RM1.8 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru dan operasi mengurus di SJKC di seluruh negara," katanya.

Beliau juga berkata jawatankuasa khas itu juga mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pendidik Cina dan pemegang amanah lain untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina ini sebanyak lima kali iaitu pada 5, 8 , 16, 23 Mac dan Isnin lepas.

Beliau berkata pada mesyuarat pertama 5 Mac lepas, jawatankuasa itu mengadakan perjumpaan dengan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan Persatuan Guru Besar SJKC.

Jawatankuasa itu juga turut mengadakan mesyuarat bersama Dong Zhong, Jiao Zhong, HuaZhong dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada 8,16, dan 23 Mac serta Isnin lepas, katanya dan menambah DongZhong pula hanya menghadiri dua daripada empat mesyuarat itu.

"Untuk memastikan keputusan jawatankuasa itu dilaksanakan sepertimana yang dipersetujui, satu mesyuarat penyelarasan tindakan susulan jawatankuasa itu telah diadakan pada 27 Mac bersama-sama BPPDP, BPG, IPM, NUTP dan BPSH sebagai urusetia," katanya.

Muhyiddin berkata bagi mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC, sebanyak 1,482 guru sandaran telahpun diagihkan kepada semua negeri, manakala baki 392 guru sandaran dibenarkan dilantik pada 1 April lepas.

"Guru-guru interim ini akan berkhidmat sehingga pengisian oleh guru terlatih dapat dilaksanakan sepenuhnya dan tertakluk kepada kekosongan sebenar berdasarkan Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan diluluskan," katanya.

Beliau berkata pada 27 Mac lepas, kementerian mengeluarkan surat perlanjutan perkhidmatan guru-guru sandaran di SJKC, dan bagi melaksanakan agenda tersebut, guru besar SJKC boleh mencalonkan guru-guru yang memenuhi syarat dan pelantikan yang akan dilakuakan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Menyentuh mengenai guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa dan tindakan Lembaga Pengelola SJKC yang berpendapat memindahkan 100 guru tersebut adalah wajar kerana mereka tidak boleh bertutur dan menulis menggunakan bahasa Cina dan akan menimbulkan masalah untuk berinteraksi dengan murid pemulihan yang lemah, Muhyiddin berkata kajian kementerian itu mendapati ada dalam kalangan guru-guru ini mempunyai kredit dalam bahasa Cina.

"Seramai tujuh orang guru didapati mempunyai kelayakan Bahasa Cina iaitu dua orang di Melaka (SJKC Chabau dan SJKC Pay Hsien), dua orang di Sarawak (SJKC Chung Hua, Sibuti dan SJKC Chun Hua, Serian), seorang di SJKC Hin Hua, Selangor dan dua di Johor (SJKC Sengkang, Kulai Jaya dan SJKC Ban Foo)," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu menetapkan guru-guru itu yang mempunyai kelayakan bahasa Cina akan terus kekal di sekolah tersebut, sementara guru yang lain akan ditempatkan semula ke sekolah kebangsaan mulai 16 April ini sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kekurangan Guru SJKC pada Isnin lepas.

Bagi mengatasi masalah guru-guru opsyen kajian sosial yang tidak berkelayakan bahasa Cina, beliau berkata, seramai 17 guru Kajian Sosial dengan minor Bahasa Melayu telah ditempatkan di daerah Klang, Selangor dan seorang daripada mereka mempunyai kelayakan bahasa Cina dan akan dikekalkan di sekolah sedia ada iaitu SJKC Chung Hua, dan yang lain akan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan.

Sementara seorang guru di SJKC Chabau Melaka diganti dengan seorang guru pengajian Cina.

Mengenai pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Tahap 1 di SJKC Gred A dan B akan diajar oleh guru yang berkelayakan mengajar Bahasa Cina sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, katanya.

Muhyiddin berkata dari inisiatif jangka panjang, Bahagian Pendidikan Guru dan Institut Pendidikan Guru Malaysia sedang merangka Program Intervensi Tambah Opsyen untuk guru-guru bukan opsyen Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan mengajar mata pelajaran selain Bahasa Cina lebih dari lima tahun.

Kursus ini dijangka bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini supaya tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya dan menambah, kerajaan telah mengemukakan perancangan mengikut keperluan di SJKC dan mekanisme untuk melatih bukan sahaja guru-guru yang terlatih di dalam Bahasa Cina tetapi juga penambahan pensyarah-pensyarah Pengajian Cina.

Muhyiddin berkata buat masa ini terdapat 72 pensyarah Pengajian Cina di institut pendidikan guru di seluruh negara, dan kementerian telah bersetuju untuk mengambil 30 lagi pensyarah Pengajian Cina bagi meningkatkan kapasiti latihan guru.

"Permohonan untuk menjadi pensyarah di institut perguruan ini termasuk jawatan pensyarah Pengajian Cina telah dilaksanakan mulai 13 Mac hingga 30 Mac dan pada ketika ini, pihak urusetia di IPGM kementerian sedang memproses permohonan dan pengambilan akan dibuat pada 1 Jun 2012, dan pengambilan pensyarah dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Sebagai langkah penambahan guru terlatih di SJKC, kementerian juga telah menyemak dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan mendapati dalam kalangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Pengajian Tinggi Awam yang telah ditemuduga, terdapat seramai 105 orang yang mempunyai kelayakan Bahasa Cina di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

"Oleh itu, Kementerian Pelajaran telah bersetuju melantik mereka untuk berkhidmat di SJKC dalam tempoh yang terdekat. Langkah-langkah yang diambil ini jelas menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan isu yang dianggap berlarutan oleh masyarakat Cina," katanya.

"Walaubagaimanapun, saya telah mengarahkan supaya jawatankuasa ini terus mengadakan sesi perbincangan dan maklumbalas serta mengumpul input dengan kesemua pihak yang berkepentingan dan melihat semua pandangan yang diutarakan dengan mengambil kira semua aspek dan mencari jalan penyelesaian jika ada isu-isu lain yang diketengahkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan