Asean Minta Sekatan Ke Atas Myanmar Dikaji Semula

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PHNOM PENH: Asean akan meminta sekatan yang dikenakan ke atas Myanmar dikaji semula dan ditarik balik berikutan proses demokrasi dan perdamaian menggalakkan yang berlaku di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Kemboja mencadangkan perkara tersebut semasa Sidang Kemuncak Asean ke-20 di sini dan Malaysia menyokong usaha berkenaan.

"Myanmar telah berjaya mengadakan 46 pilihan raya kecil baru-baru ini dan proses demokrasi dan perdamaian di sana juga berjalan dengan lancar.

"Pembabitan Asean secara membina dengan Myanmar telah membuahkan hasil berguna. Myanmar sekarang diterima sebagai satu komuniti di dunia," kata Najib kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri hari pertama sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari di Peace Palace di sini.

Beliau berkata Asean akan memasukkan keputusannya mengenai perkara berkenaan dalam pernyataannya.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan pelaburan dan perdagangan ke atas Myanmar berikutan pemerintahan junta tentera selama hampir lima dekad di negara itu.

Sekatan dikenakan EU ke atas Myanmar termasuklah sekatan senjata, penghentian keutamaan perdagangan dan menggantung semua bentuk bantuan kecuali kemanusiaan.

Junta tentera di Myanmar dibubarkan berikutan pilihan raya umum pada 2010 dan Yangon kemudian melakukan beberapa perubahan dramatik termasuk membenarkan pembangkang menyertai pilihan raya kecil pada 1 April lepas dan membebaskan beratus-ratus tahanan politik, memeterai perjanjian dengan kumpulan pemberontak serta melonggarkan sekatan terhadap pihak media.

Najib berkata sidang pada Selasa telah menerima dan meluluskan empat dokumen - Agenda Phnom Penh bagi Membina Komuniti Asean; Perisytiharan Asean Phnom Penh: Satu Komuniti, Satu Masa Depan; Perisytiharan Pemimpin Asean mengenai Asean-Bebas Dadah 2015; dan Kertas Konsep Asean mengenai Pergerakan Global Kumpulan Berpendirian Sederhana.

"Ia adalah matlamat sangat bercita-cita tinggi untuk Asean merubah rantau ini supaya bebas daripada dadah menjelang 2015 tetapi kami beriltizam untuk mencapainya sedapat yang mungkin. Ia seharusnya disokong dengan apa cara sekalipun termasuk menerusi tindakan dan pertukaran maklumat," katanya.

Mengenai penubuhan Komuniti Asean menjelang 2015, Najib berkata proses pelaksanaannya sudah mencapai 70 peratus, dan kumpulan serantau itu perlu meningkatkan lagi usaha kerana tinggal hanya tiga tahun sahaja lagi.

Jurang pembangunan perlu dikurangkan bagi mencapai paras imbangan pembangunan, pengusaha kecil dan sederhana perlu disokong manakala penghapusan sekatan bukan tarif yang menghalang penyatuan serantau adalah antara cabaran yang dihadapi, katanya.

Berhubung penerimaan Kertas Konsep Asean bagi Pergerakan Global Kumpulan Berpendirian Sederhana yang dicadangkan Malaysia, Perdana Menteri berkata Asean menyokongnya kerana ia berkongsi nilai-nilai pergerakan itu yang menentang keganasan dan sikap melampau selain menghormati satu sama lain.

"Asean mahu peta perjalanan perkara berkenaan disusun dalam usaha memajukan Pergerakan Global Kumpulan Berpendirian Sederhana di peringkat serantau dan sejagat," kata Najib.

Asean, sebuah pertubuhan kumpulan 10 negara dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, yang dibentuk 45 tahun yang lalu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan