Tiga Tahun Yang Mengujakan, Mencabar - Najib

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PHNOM PENH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tempoh tiga tahun beliau menerajui tampuk pemerintahan negara sebagai suatu pengalaman yang mengujakan dan penuh cabaran.

"Kami telah melalui perjalanan yang panjang dalam tempoh tiga tahun. Apabila kita bermula, kami bermula daripada kedudukan yang penuh cabaran, dengan tsunami politik dan terdapat banyak kewahaman dan kesinisan.

"Tetapi selepas tiga tahun, rakyat mula lebih percaya dan yakin dengan kerajaan. Rakyat percaya kami boleh melakukannya dan kami telah pun membuktikannya," katanya kepada wartawan Malaysia pada satu sidang media di sini.

Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-20 yang berlangsung selama dua hari.

Beliau berkata angka makro kelihatan sangat baik dan sektor swasta telah memberikan respons yang memberangsangkan.

Najib mengambil alih pucuk kepimpinan kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badari.

Perdana Menteri berkata pelaburan langsung asing telah mencapai rekod tertinggi selepas 10 tahun dengan nilai pelaburan berjumlah RM120 bilion direkodkan dalam masa satu tahun.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga mencapai tahap tertinggi dan kerajaan berupaya mengurangkan defisit fiskal.

"Semua ini memberi petunjuk bahawa kami telah mencipta satu momentum baru sepanjang tahun berkenaan. KDNK kita baik. Kesemua NKRA telah melebihi sasaran dan cabaran seterusnya adalah untuk meneruskan momentum kerana kita telah mencapai banyak kejayaan dalam masa tiga tahun.

"InsyaAllah, berikan kami lima tahun lagi, kami akan melakukan lebih banyak lagi," kata beliau.

Najib berkata beliau terkejut kerana sudah tiga tahun berlalu.

"Saya rasa berpuas hati kerana (anggota) Kabinet telah banyak memberi sokongan. Saya tidak dapat melakukannya sendirian. Rakan-rakan saya telah menyokong saya selama ini.

"Kami telah mengotakan janji-janji yang kami buat dan ini sangat penting. Apabila kami berjanji, kami menunaikannya," kata Perdana Menteri.

Mengenai cabaran politik yang beliau hadapi, Najib berkata pembangkang akan menggunakan apa jua isu dan mereka pula tidak konstruktif untuk mencari penyelesaian sebaliknya memanjangkan isu-isu sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Minda pemikiran mereka bukannya untuk mencari penyelesaian tetapi untuk mencipta dan memanjang-manjangkan isu," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan