PSC Cadang Peruntukan Undang-Undang Bubar Parlimen Empat Tahun

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mencadangkan peruntukan undang-undang pembubaran Parlimen hanya dibuat selepas empat tahun pilihan raya umum.

Pengerusi PSC, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, jawatankuasa berkenaan turut mengesyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuh untuk mengawasi dan meneliti semua usaha penyemakan dan pembersihan daftar pemilih serta melaksanakan tugas-tugas lain yang dirujuk kepada jawatankuasa itu.

“Selain itu, PSC turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai pemilih yang alamatnya diragui berdasarkan dakwaan terdapat lebih 50 pengundi di satu alamat yang sama, dalam tempoh 45 hari daripada tarikh laporan PSC dibentang.

“Ini adalah untuk memberi ruang pemilih yang terlibat memaklumkan kepada SPR bagi membolehkan suruhanjaya itu mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih berkenaan,” katanya ketika membentang laporan akhir PSC di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dr Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, mengenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, SPR disaran mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan itu dilaksana pada masa hadapan.

“PSC turut mencadangkan agar SPR mengkaji cadangan untuk membenarkan pra-pendaftaran bagi warganegara yang mencapai umur 20 tahun untuk didaftarkan sebagai pemilih,” katanya.

Laporan PSC tersebut mengandungi 22 syor dan cadangan yang meliputi lima isu utama iaitu perundangan dan pindaan peraturan, menambah baik proses pilihan raya, meningkatkan mutu daftar pemilih, memperkukuh kedudukan SPR dan persempadanan, pembiayaan politik dan sistem alternatif.

Syor dan cadangan diperoleh oleh PSC daripada sesi pendengaran awam, maklum balas anggota jawatankuasa dan hasil penelitian semula jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja yang dilakukan oleh jawatankuasa berkenaan pada tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai jawatankuasa tersebut, Dr Ongkili berkata, PSC telah mengadakan 13 mesyuarat sejak 12 Oktober tahun lepas dan yang terakhir diadakan pada 28 Mac lalu.

Selain itu, lima jawatankuasa kecil yang diketuai oleh ahli jawatankuasa PSC telah ditubuhkan untuk memperhalusi isu-isu yang berbangkit dalam pendengaran awam yang telah diadakan.

Beliau berkata, sebanyak enam siri pendengaran awam juga diadakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Kota Baharu dan berakhir di Johor Bahru sejak November tahun lepas hingga Januari.

Laporan PSC itu turut mencadangkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik untuk warganegara Malaysia di luar negara, termasuk menimbangkan kaedah pengundian awal tertakluk kepada pindaan undang-undang berkenaan.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan SPR melantik lebih ramai petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

Bagi petugas media, SPR disyor memberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

PSC turut mencadangkan SPR distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak lain.

Berhubung persempadanan semula, PSC mengesyorkan SPR supaya menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di suatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

"Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip 'Satu Orang, Satu Undi' dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar," katanya.

Laporan itu turut meminta SPR meneliti cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti campuran atau Sistem Perwakilan Berkadaran.

"Perkara ini perlu diteliti kerana ia melibatkan dasar yang perlu dipertimbang oleh kerajaan, dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu," katanya.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan