Peniaga Malaysia Yakin Mayat Di Hospital Songkhla Nagarind Adalah Anaknya

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HATYAI: Seorang peniaga, Tan Pee Hong, yakin mayat mangsa serangan bom yang belum dikenal pasti di Hospital Songkhla Nagarind di sini adalah mayat anak lelakinya Tan Peng Chan.

Tan, 63, berkata keyakinannya berdasarkan tatu, cincin dan subang yang ada pada mayat tersebut.

Sekalipun pihak berkuasa Thailand masih belum mengesahkan identiti mayat itu dan menunggu keputusan ujian DNA, saya yakin ini mayat anak saya, katanya ketika ditemui Bernama di hospital itu, Selasa.

Tan yang mengusahakan kedai kopi di Kuala Kedah, berkata beliau telah berada di sini sejak tiga hari lepas dan akan terus menunggu untuk membawa pulang mayat anak sulungnya itu.

Katanya Peng Chan, 39, yang masih bujang datang ke sini beberapa hari lepas.

"Saya amat sedih namun saya kuatkan semangat untuk ke sini untuk membuat pengecaman mayat anak saya," katanya.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Aini Atan berkata keputusan ujian DNA ke atas mayat tersebut dijangka diketahui esok.

Sekalipun bapa mangsa mengesahkan mayat itu mayat anaknya, namun beliau perlu menunggu pengesahan pihak berkuasa Thailand, katanya.

Dalam kejadian letupan bom di Hotel Lee Garden Plaza di tengah-tengah bandar Hatyai kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan Sabtu lalu, 10 orang termasuk seorang rakyat Malaysia disahkan maut manakala lebih 300 termasuk 10 rakyat Malaysia cedera.

Hari ini, rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu turut menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan Perlis Ahmad Bakri Ali yang menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Katanya sekalipun tiada penduduk Perlis terlibat dalam kejadian itu, kerajaan negeri berasa bertanggungjawab untuk melawat mangsa.

"Kami sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku di Thailand terutama di kawasan pinggir sempadan," katanya.

Turut serta Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan