KPT Peruntuk RM10 Juta Untuk Biasiswa Sukan

Diterbitkan: Selasa, 3 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Kementerian Pengajian Tinggi memperuntukkan sebanyak RM10 juta sebagai biasiswa untuk atlet yang cemerlang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tahun ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, biasiswa itu juga sebagai galakan kepada atlet agar aktif di dalam sukan sehingga mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

"Seramai 178 atlet mahasiswa yang cemerlang dan berjaya di dalam sukan akan menerima biasiswa itu tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang 2012, di sini, Selasa.

Katanya, KPT menawarkan kursus dalam bidang sukan seperti Sains Sukan yang terdapat beberapa universiti di negara ini.

"Institusi pengajian tinggi juga bukan sahaja menawarkan kursus dalam bidang Sains Sukan, malah bidang Sains Kejuteraan, Psikologi Sukan dan Sukan Rekreasi.

"Platform seumpama itu secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada para atlet untuk menambah ilmu di dalam bidang sukan," katanya.

Katanya, kira-kira 30 peratus daripada para atlet yang mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sukan antarabangsa terdiri daripada pelajar IPT.

Seramai 613 peserta dari seluruh Pahang menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung di Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan