Sistem Tukar Hak Milik Sementara Untuk Permudah Jualan Kereta Terpakai Dilancar

Diterbitkan: Isnin, 2 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem Tukar Hak Milik Sementara untuk membolehkan pemilik kereta menukar hak milik sementara kepada pengedar kereta terpakai bagi memudahkan penjualan kereta terpakai, dilancarkan pada Isnin oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

"Penukaran hak milik kereta sementara hanya sah bagi tempoh maksimum enam bulan. Jika dalam tempoh itu, kenderaan itu tidak dijual, dengan itu syarikat kereta terpakai akan diberikan hak milik kekal kenderaan itu dan tempoh sementara itu secara automatik terbatal," kata Kong kepada pemberita selepas majlis pelancaran sistem itu di sini.

Beliau berkata sistem itu akan menyediakan transaksi lebih selamat antara pemilik kereta dan pengedar kereta terpakai, dengan pemilik kereta terdahulu bebas daripada sebarang isu berkaitan dengan kereta itu semasa fasa transaksi sebelum kereta itu dijual kepada pemilik baru.

"Dengan penukaran hak milik sementara, pengedar kereta terpakai akan bertanggungjawab atas segala kemalangan, saman, aduan dan sebagainya.

"Kita harap pengguna iaitu penjual faham bahawa mereka akan mendapat satu slip yang membuktikan yang kereta itu telahpun dijual (dan ditukar hak milik sementara) lengkap dengan butirannya.

Kong berkata tempoh penukaran hak milik sementara itu bukan untuk tujuan membeli kereta terpakai.

Beliau berkata sistem itu masih belum diwajibkan kepada semua pengedar kereta terpakai. Sebaliknya ia akan bertindak sebagai alternatif kepada pemilik kereta dan pengedar kereta dalam mengendalikan transaksi dengan lebih selamat.

Kong berkata sistem online sudah dilaksanakan sejak Januari dan dibangunkan oleh eAuto.com dan MyEG Services Bhd, dijangka kira-kira 3,000 pengedar kereta di seluruh negara berdaftar dengannya menjelang akhir tahun ini.

"Setakat ini, kira-kira 100 pengedar kereta telah berdaftar dan kita harap lebih ramai lagi akan berbuat demikian."

Beliau berkata di bawah sistem itu, transaksi tukar hak milik kenderaan akan dikenakan caj kerajaan sebanyak RM10, dan RM15 oleh penyedia perkhidmatan dan kos itu akan ditanggung oleh syarikat kereta terpakai dan bukannya pemilik atau penjual kereta.

Terdahulu dalam ucapannya, Kong berkata kementerian akan berbincang dengan Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia untuk melaksanakan sistem yang sama bagi transaksi motosikal terpakai.

"Terdapat 1.186 juta kenderaan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan tahun lepas, dan separuh daripadanya ialah motosikal, jadi wujud keperluan untuk mereka turut terlibat dalam sistem ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan