Pemerhati Malaysia Kagum Perjalanan Pilihan Raya Myanmar

Diterbitkan: Isnin, 2 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YANGON: Delegasi Malaysia yang dijemput memerhati perjalanan pilihan raya kecil di Myanmar pada Ahad berpuas hati dengan layanan baik dan kerjasama yang diberikan oleh pihak berkuasa negara itu.

Duta Malaysia ke Myanmar, Dr Ahmad Faisal Muhamad, seorang daripada pemerhati yang menyaksikan perjalanan pilihan raya kecil itu, berkata Myanmar benar-benar menunjukkan iltizam kuat untuk memastikan pilihan raya kecil itu dijalankan begitu telus dan terbuka.

"Selagi mereka boleh menerima, mereka akan membenarkannya asalkan ianya tidak mengganggu proses. Sehinggalah ke proses mengira undi, semuanya sangat telus dan pihak mereka mengizinkannya," katanya.

Pemerhati dari Malaysia telah melawat tujuh pusat mengundi di tiga kawasan iaitu di Hlega, Mayangon dan Mingala Taungnyunt, untuk memerhati proses pengundian.

Delegasi Malaysia terdiri dua anggota Parlimen, pegawai dari Suruhanjaya Pilihan Raya, tiga pegawai dari Kedutaan Malaysia di Myanmar selain wakil Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Television Malaysia (RTM).

"Mereka cuba menjawab setiap pertanyaan yang kami kemukakan. Mereka menerima kedatangan kami, malah melebihi garis panduan yang mereka berikan kepada kami di permulaan," kata Ahmad Faisal.

Mengenai proses mengundi, beliau berkata delegasi Malaysia mendapati sistem berjalan lancar dari peringkat mula sehingga ke akhirnya dan beliau menyifatkannya 'agak baik dan jelas' sekalipun ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

Katanya berdasarkan interaksi dengan wakil parti-parti politik di pusat pengundian, sebilangan besar mereka senang hati dengan proses pemilihan.

Beliau tertarik hati dengan perjalanan pilihan raya itu yang dikendalikan secara aman dan teratur.

Seorang lagi pemerhati dari Malaysia, Anggota Parlimen kawasan Silam, Salleh Kalbi, sependapat dengan Ahmad Faisal, dan berkata bahawa terdapat beberapa aspek yang Malaysia boleh pelajari daripada Myanmar daripada segi mengadakan pilihan raya secara aman.

Beliau mencadangkan suruhanjaya pilihan raya dari Malaysia dan Myanmar mengatur program pertukaran petugas mereka supaya kedua-dua negara dapat mempelajari antara satu sama lain.

Salleh berkata beliau gembira melihat begitu ramai pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu dan berkata ianya dikendalikan mengikut peraturan dan tatasusila.

"Rakyat Myanmar menyedari tanggungjawab mereka (untuk mengundi)," katanya.

Seorang lagi pemerhati dari Malaysia, Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, berkata pada keseluruhannya pilihan raya dijalankan secara bebas, adil dan telus.

Beliau kagum melihat kemudahan yang disediakan untuk pengundi dan mereka keluar mengundi dalam suasana yang tenang.

Katanya, penglibatan parti-parti politik di pusat pengundi adalah sedikit sekali, manakala suruhanjaya pilihan raya negara itu memberi segala kemudahan kepada pengundi dan 'tidak langsung bercakap dengan pengundi'.

Sebelum pilihan raya kecil itu diadakan, kata Zulkifli, beliau beranggapan pilihan raya akan dijalankan secara ketat dengan kehadiran tentera di semua pusat mengundi.

"Kami tidak nampak pun anggota polis di mana-mana, kecuali pengawal keselamatan. Tidak kelihatan pun tentera, begitu juga kereta kebal...tak nampak pun.

"Pengundi kelihatan bebas, mereka tidak terasa dikongkong, diganggu sama ada oleh pihak berkuasa atau mereka yang berkepentingan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan