Letupan Di Hat Yai: Pekerja Restoran Malaysia Dilaporkan Hilang

Diterbitkan: Isnin, 2 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Seorang pekerja restoran dari Kuala Kedah dilaporkan hilang dalam kejadian letupan bom di bangunan Hotel Lee Gardens Plaza di bandar Hat Yai pada Sabtu, yang mengorbankan 10 mangsa termasuk seorang rakyat Malaysia.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, Tan Peng Chan, 39, gagal ditemui selepas kejadian pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) itu dan keluarga mangsa memaklumkan tentang kehilangan itu pada Ahad.

Katanya, keluarga mangsa akan melakukan pengecaman satu mayat di Hospital Songkhla Nagarind pada Isnin.

Setakat ini, seorang rakyat Malaysia, Low Thian Hock, 46, dari Kulim, Kedah, terbunuh dan 27 lagi rakyat Malaysia cedera termasuk 11 mengalami kesan terbakar yang serius antara 30 hingga 50 peratus.

Mohd Aini berkata, mayat Low akan dihantar pulang pada Isnin.

Katanya, dua pelancong wanita, K. Sagunthala, 34 dan Mini Ng, 35, dibenarkan pulang pada Ahad selepas mendapat rawatan di Hospital Rajyindee. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan