Kementerian Selesai 100 Daripada 167 Projek Rumah Terbengkalai Sejak Tiga Tahun Lepas

Diterbitkan: Isnin, 2 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjaya menyelesaikan 100 daripada 167 kes projek perumahan terbengkalai di seluruh negara sejak tiga tahun lepas sehingga kini, melibatkan lebih 20,000 unit rumah.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Ahmad Kabit berkata usaha yang lebih agresif perlu dilaksanakan untuk mengurangkan masalah itu yang kini membelenggu kebanyakan pembeli.

"Program pemulihan projek rumah terbengkalai adalah antara usaha yang begitu giat digerakkan kementerian dan membuahkan hasil, tetapi usaha perlu diteruskan untuk mengatasinya," katanya di sini, Isnin.

Ahmad berkata demikian semasa berucap pada majlis serah tugas kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian Datuk Arpah Abd Razak yang akan menggantikan beliau yang akan bersara, berkuatkuasa esok.

Majlis penyerahan tugas itu disaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Ahmad berkata banyak pengalaman berharga yang diperolehi semasa beliau menjadi KSU kementerian itu sejak tahun 2009 di bawah pentadbiran tiga menteri iaitu Chor dan sebelumnya Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Datuk Seri Kong Cho Ha.

"Jadi, kita sebagai penjawat awam yang dipertanggungjawabkan di peringkat bawahan, mesti bersikap terbuka, sanggup menerima teguran dan apa juga cabaran yang diberikan ketua kita," katanya yang berkhidmat dalam kerajaan selama 36 tahun di pelbagai jabatan dan agensi.

Dalam pada itu, Ahmad mengucapkan tahniah kepada Arpah kerana menjadi Ketua Setiausaha (KSU) wanita pertama yang dilantik di kementerian itu, sekaligus menjadi KSU wanita keenam daripada 25 barisan KSU di peringkat persekutuan.

Sementara itu, Arpah berkata beliau berazam untuk memelihara dan mempertingkatkan usaha membantu kementerian itu melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Arpah, 57, ialah lulusan Ijazah Sarjana Sains Perancangan Bandar dan Wilayah dari University of Southern California, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Pengajian Bandar dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau memulakan perkhidmatan dengan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 November, 1979. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan