MB Selangor Arah Pegawai Daerah, JPS Sedia Laporan Lengkap Banjir Di Klang

Diterbitkan: Ahad, 1 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan pegawai daerah Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian banjir kilat di sekitar Klang semalam termasuk punca dan cara penyelesaiannya.

Beliau berkata laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) pada Khamis depan.

"Kerajaan negeri juga akan mengkaji semula pelan pembangunan di Klang berdasarkan kejadian dataran banjir 50 tahun. "Pelan itu akan dijadikan panduan di mana kerajaan negeri akan menasihatkan pihak berkenaan supaya tidak membangunkan sesebuah kawasan jika kawasan itu berkemungkinan ditenggelami banjir," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar Selangor di sini, Sabtu.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 bagi setiap keluarga mangsa banjir itu dan akan menimbangkan untuk memberi lebih daripada jumlah itu bergantung kepada kesusahan yang dialami oleh mangsa.

Beliau berkata wakil rakyat di kawasan terlibat turut menubuhkan bilik gerakan untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan seperti makanan, minuman serta keperluan lain.

Abdul Khalid berkata bilik gerakan itu mendaftarkan semua mangsa bagi merekodkan jenis kerosakan dan kerugian yang ditanggung agar tindakan susulan diambil seperti bantuan sewajarnya.

"Kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk meringankan kesusahan yang ditanggung mangsa banjir kilat ini tetapi bantuan yang akan diberikan mestilah realistik dan mengikut kemampuan. "Bagaimanapun, dana ini adalah sekadar bantuan bagi meringankan beban mangsa dan bukan pampasan atas kehilangan atau kerugian yang mereka alami akibat banjir kilat yang teruk itu" katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan