KPKK Sedia Bantu Jayakan Program Seni Serumpun

Diterbitkan: Ahad, 1 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), menerusi agensi serta jabatan berkaitan, akan membantu persatuan berasaskan budaya di Sabah menjayakan program seni mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata buat permulaan, sejumlah RM100,000 diperuntukkan kepada Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) bagi menyokong usaha murni merancak dan memasyarakatkan budaya serumpun di negeri ini.

"Kementerian sedia membantu persatuan berasaskan budaya di Sabah dalam usaha memartabatkan kepelbagaian budaya negara. "Kementerian yakin seni dan budaya pada masa depan menjadi asas (semangat) kekitaan antara kita," katanya ketika merasmikan Pesta Derumpun anjuran USBO dengan kerjasama jabatan dan agensi KPKK Sabah di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini malam Sabtu.

TuruthadirDatin Seri Masnah Rais dan Presiden USBO Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak. Sehubungan itu, Rais meminta jabatan dan agensi KPKK menyenaraikan program bersesuaian yang dapat menjelmakan perpaduan kaum dalam suasana Gagasan 1Malaysia, terutama kepelbagaian kebudayaan suku kaum di negara ini.

Beliau berkata usaha seumpama itu merupakan sebahagian langkah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kaum melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Terdahulu, Salleh dalam ucapannya berharap program julung kali itu menjadi sebahagian budaya nasional dan dapat dianjurkan setiap tahun jika mendapat peruntukan khusus daripada kementerian.

"Program budaya serumpun ini merupakan satu komponen yang mengetengahkan aspek seni dan budaya suku kaum yang menjadi sebahagian daripada keperluan masyarakat di negara ini," katanya.

Pesta Derumpun USBO 2012 memaparkan tema Nalan, yang bermaksud mengunjungi acara keramaian sempena majlis perkahwinan atau nazar. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan