Polis Sedia Hadapi Kemungkinan Pilihan Raya Negeri Diadakan Berasingan

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Polis sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, walaupun berdepan kemungkinan negeri yang dikuasai pembangkang tidak mengadakannya serentak dengan kerajaan persekutuan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan sepanjang tempoh pilihan raya itu nanti.

"Kita tidak ada masalah untuk menghadapi pilihan raya jika dibuat berasingan," katanya kepada pemberita pada majlis Pertandingan Memancing Sempena Sambutan Hari Polis ke-205 anjuran Polis Diraja Malaysia-Berita Harian di sini, Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor yang diperintah pembangkang menyatakan Dewan Undangan Negeri itu hanya akan dibubar selepas Jun, walaupun kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen lebih awal.

Sementara itu, Khalid berkata pada tahun ini, polis menyasar untuk menempatkan Malaysia di tangga ke-10 Indeks Keamanan Global sebagai negara aman di dunia.

Beliau berkata sasaran itu selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah iaitu satu daripada objektif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara.

"Pada tahun lepas, Malaysia berada di kedudukan ke-19 dalam indeks tersebut dan telah diiktiraf sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan