PBS Ulangi Gesaan Tubuhkan Suruhanjaya Diraja Atasi Pati Di Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Sabtu mengulangi gesaannya supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ini merupakan satu daripada isu yang perlu diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan perkara itu telah menjadi kebimbangan di kalangan rakyat Sabah.

"Oleh yang demikian, amat penting isu ini ditangani segera dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja kerana isu ini boleh bertukar menjadi krisis di negeri ini dan mengakibatkan BN kehilangan sokongan rakyat," kata Ongkili pada seminar kepimpinan PBS di sini, Sabtu.

"Gesaan bagi penubuhan suruhanjaya ini telah disuarakan oleh beberapa pemimpin PBS sejak beberapa tahun dan PBS akan terus memperjuangkan isu penting ini," katanya.

Ongkili berkata isu hak tanah adat pribumi merupakan satu lagi isu yang menjadi kebimbangan di kalangan rakyat.

"Tanah ialah aset penting bagi penduduk pribumi; peranan kami ialah kami mesti melindungi hak rakyat. Kami mesti memperjuangkan perkara ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan