Najib, Jiabao Akan Lancar Projek Ikon Malaysia-China Di Qinzhou

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NANNING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao dijadualkan bertemu lagi pada Ahad sejak pertemuan terakhir mereka lima bulan lepas di bandaraya selatan China itu, yang mencerminkan satu lagi langkah ke hadapan bagi mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Selain mengadakan mesyuarat dua hala, kedua-dua Perdana Menteri itu akan bersama-sama melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP), satu projek usahasama Malaysia-China di kawasan pantai wilayah Guangxi.

Duta Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin berkata QIP yang diambang menjadi satu projek ikon, akan menyaksikan kerjasama yang semakin meningkat antara sektor awam dan swasta kedua-dua negara.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan tiba di sini pada jam 1.00 pagi Ahad bagi melakukan lawatan kerja sehari bagi melihat sendiri kemajuan projek itu.

Iskandar berkata projek itu adalah strategik kerana berdekatan negara-negara Asean, kerana Pelabuhan Bebas Qinzhou yang berdekatan akan bertindak sebagai akses paling mudah ke barat daya China, khususnya Kunming, yang merupakan bandaraya terbesar wilayah Yunnan.

"Kerjasama Malaysia-China kini berada pada peringkat terbaik dengan kedua-dua Perdana Menteri (Najib dan Jiabao) bersetuju supaya kerjasama ditingkatkan ke tahap paling tinggi dan strategik.

"Kerjasama strategik ini melibatkan semua bidang yang berpotensi untuk diterokai bagi faedah bersama," katanya semasa taklimat kepada wartawan Malaysia di sini Sabtu.

Katanya projek itu bukan sahaja akan menyediakan peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia malah juga kepada syarikat-syarikat negara-negara anggota Asean yang lain.

Projek QIP, katanya adalah pembangunan projek ketiga sedemikian di China, selain Taman Perindustrian Suzhou dan Bandaraya Eko Tianjin antara China dan Singapura.

Katanya fasa pertama QIP meliputi kawasan seluas 15 km persegi, dengan pembangunan keseluruhan tiga fasa dijangka dikembangkan kepada 55 km persegi.

Keseluruhan projek itu dijangka memakan masa 15 tahun untuk disiapkan.

Semasa pertemuan mereka di Kuala Lumpur setahun lepas, Najib dan Jiabao telah menekankan pentingnya dijalin kerjasama strategik antara Malaysia dan China, sekaligus melahirkan idea mewujudkan QIP.

Kedua-dua pemimpin bertemu semula Oktober lepas apabila Najib menghadiri Ekspo China-Asean (CAEXPO 2011) di sini di mana kedua-dua pihak mengukuhkan lagi komitmen masing-masing bagi memastikan kelancaran pembangunan projek itu.

Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tan Sri Ong Ka Ting kemudiannya dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri Ke China.

Pada Ahad, Najib dan Jiabao akan menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian usahasama antara Qinzhou Development (Malaysia) Consortium Sdn Bhd dan Qinzhou Jingu Investment Co.Ltd.

Iskandar berkata jumlah dagangan antara kedua-dua negara terus meningkat dengan China kini merupakan rakan terbesar dengan jumlah dagangan keseluruhan US$54.53 bilion.

Katanya bilangan pelawat dari China ke Malaysia telah meningkat kepada 1.5 juta pada 2011 berbanding 1.4 juta pada tahun sebelumnya.

"Kemasukan buah durian turut melonjak daripada nilai RM400,000 pada 2010 kepada RM1.1 juta tahun lepas, menandakan permintaan yang semakin tinggi," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan