Masih Ramai Rakyat Hargai Sumbangan Polis

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Jika sesetengah pihak melabelkan polis sebagai korup dan sering menyalahgunakan kuasa, bagi penduduk Merotai Besar di sini mereka berasa selamat dengan kehadiran pasukan keselamatan itu.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak adil kepada polis, rata-rata penduduk yang ditemui pada Program Jiwa Murni anjuran Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau pada Sabtu melahirkan penghargaan terhadap jasa pasukan tersebut.

"Saya anggap beberapa kes rasuah membabitkan anggota polis adalah kes terpencil dan tidak mewakili keseluruhan imej anggota dan pasukan itu.

"Pada kalangan mereka, ramai memiliki pengetahuan yang baik dalam agama dan setia menjalankan tugas," kata Amis Abu Nawas yang hadir pada majlis itu.

Kata Amis, 42, selaku penduduk di daerah ini beliau amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan polis di kawasannya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang membuat tuduhan melulu terhadap anggota polis secara keseluruhan.

Sementara itu, Mariam Jamil, 54, berkata beliau teruja kerana dapat berinteraksi dengan anggota pasukan keselamatan tersebut secara langsung sekarang.

"Sebelum ini saya hanyak lihat polis beraksi membanteras jenayah melalui siri-siri drama di televisyen seperti dalam rancangan Gerak Khas namun pada hari ini (Sabtu) saya dapat menyaksikan sendiri aksi pasukan PGA untuk menghapuskan penjenayah," katanya yang mengulas demonstrasi 'membebaskan tebusan daripada penculik' pada program tersebut.

Kata suri rumah itu, cara polis bekerja dulu dan sekarang juga jauh berbeza di mana pada sekitar tahun 1960-an kelibat polis hanya dilihat beliau pada sekatan jalan raya.

Program sehari itu turut dihadiri Komander Briged PGA Sabah, Datuk Marzuki Ahmad dan kesemua tiga orang Anggota Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Kalabakan serta dirasmikan oleh Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Dalam pada itu, Marzuki ketika ditemui berkata Program Jiwa Murni Polis Diraja Malaysia melalui PGA tersebut merupakan acara mendekatkan pasukan terbabit dengan rakyat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan