Malayonesia Dicadang Ganti Nusantara: Istilah Perlu Lebih Mudah, Sederhana - KP DBP

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berpendapat bahawa sesuatu istilah jika mahu menggantikan nama "Nusantara" perlu sederhana dan dapat diterima lebih mudah oleh masyarakat umum di negara-negara berbahasa Melayu.

Beliau berkata, ia bermaksud istilah itu adalah kurang teknikal dari segi bentuk dan bunyinya.

"Dahulu dalam zaman kebangkitan semangat kebangsaan Tanah Melayu dan Indonesia menentang penjajahan, muncul nama "Melayu Raya".

"Namun dengan perkembangan sejarah negara, saya rasa masyarakat di Indonesia kini sukar menerimanya atas alasan nasionalisme mereka.

"Mungkin istilah yang sederhana ialah 'Rantau Melayu-Indonesia', dengan Malaysia dan Brunei serta wilayah lain yang berpenduduk Melayu terangkum dalam Melayu dan Indonesia berdiri sebagai entiti sendiri oleh sebab keluasannya," katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Dr Awang mengulas mengenai nama ‘Malayonesia’ mungkin dicadangkan untuk menggantikan istilah Nusantara sebagai nama rasmi bagi negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca atau bahasa perantaraan di Asia Tenggara.

Felo Penyelidik Kanan, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Shaharir Mohamad Zain memberitahu mStar Online pada Khamis mengenai cadangan itu, selepas membentangkan Siri Wacana Keterlestarian Ilmu yang bertajuk “Ilmu Malayonesia: Telah, Lani dan Kelak” yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pusat Dialog Peradaban UM di sini.

Bagaimanapun, Dr Awang setakat ini belum lagi secara pasti untuk menyokong atau sebaliknya mengenai cadangan berkenaan.

Dr Awang berkata, istilah "nusantara" menurut pemahaman masyarakat meliputi wilayah yang dahulu disebut Kepulauan Melayu.

Namun katanya, bagi kebanyakan orang Indonesia, istilah itu merujuk kepada kepulauan yang bernaung di bawah negara republik itu sahaja.

"Oleh itu, mereka tidak dapat bersetuju dengan istilah itu untuk maksud alam Melayu," kata Dr Awang..

Kertas kerja Dr Shaharir menyatakan bahawa Nusantara masih hidup sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun katanya, nama itu tidak pernah dapat dijadikan sebagai nama rasmi wilayah atau bahasa yang menyatukan wilayah atau bahasa negara-negara bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di Asia Tenggara.

Dr Shaharir berkata: “Saya cuma (mahu) mencadangkan supaya DBP menghidupkan semula (istilah). Kalau mahu menghidupkan ‘nusantara’, hidupkanlah. Kalau hendak Malayonesia, cuba cadangkan Malayonesia," katanya.

Dalam kajian Dr Shaharir turut menyatakan Malayonesia akan menjadi sebuah tamadun dalam rumpun bahasa Austranesia atau Asia Tenggara dengan ilmu yang menghayati agama dan bahasa utama tamadun itu, berdasarkan tiga fasa iaitu Melayu kuno, Melayu klasik dan Melayu moden.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan