Jabatan Pelajaran Selangor Mohon RM500,00 Tampung Kerugian 15 Sekolah Akibat Banjir

Diterbitkan: Sabtu, 31 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jabatan Pelajaran Selangor memohon peruntukan kira-kira RM500,000 daripada Kementerian Pelajaran bagi menampung ganti rugi kerosakan fizikal yang dialami 15 sekolah di Klang akibat banjir pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor Abdullah Mad Yunus berkata peruntukan itu adalah anggaran kasar setakat ini dan jumlah kerosakan terperinci di setiap sekolah terlibat masih dalam siasatan.

"Kementerian, Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang juga sedang memantau dengan teliti perkembangan terbaru di semua sekolah berkenaan berikutan hujan yang masih berterusan. "Kami akan ambil tindakan yang perlu untuk pastikan keselamatan murid-murid dan kami tidak mahu kejadian seperti banjir ini menganggu pengajaran dan pembelajaran murid-murid," katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Abdullah berkata daripada 15 sekolah itu, lapan sekolah terlibat dengan penutupan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), SMK La Salle, SK (SK) La Salle, SK Simpang Lima 1, SK Simpang Lima 2, SK Sungai Udang, SK Teluk Gadong dan Sekolah Menengah (SM) Vokasional. Sementara tujuh sekolah lagi yang terlibat dengan banjir beroperasi seperti biasa, katanya.

Abdullah berkata tinjauan sehingga tengah hari ini mendapati kesemua 15 sekolah terbabit masih menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Beliau berkata daripada lapan sekolah yang terlibat dengan penutupan, STAR paling teruk dilanda bencana alam itu.

Abdullah berkata dalam minggu ini sahaja, STAR dinaiki air sebanyak tiga kali.

Masalah banjir di sekolah itu dialami sejak tahun 80-an dan dalam setahun kira-kira tujuh kali ia dinaiki air.

Ditanya kemungkinan memindahkan sekolah berkenaan ke tempat lain untuk mengelak kejadian itu berulang, Abdullah berkata cadangan itu boleh dipertimbang namun beberapa perkara perlu diambil kira.

"Cadangan itu boleh tetapi sekolah bersejarah (Ethos) seperti ini selalunya ingin kekal berada di tempat asal," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan