Kekurangan Guru Di SJK Tamil Diatasi Hujung Tahun Ini - Puad Zarkashi

Diterbitkan: Jumaat, 30 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA PILAH: Masalah kekurangan guru di sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dijangka dapat diatasi hujung tahun ini apabila 80 guru menamatkan pengajian mereka di institut pendidikan guru (IPG).

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata bakal guru terbabit akan mengisi sebahagian besar daripada 107 kekosongan jawatan di sekolah yang berkenaan.

"Bagi saya masalah kekurangan guru ini dianggap selesai dengan pengisian sebahagian besar jawatan itu," katanya kepada pemberita Jumaat.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Integrasi Pasukan Badan Beruniform Agensi Bukan Kerajaan Sekolah Menengah peringkat negeri dan Perasmian Surau Kem Rimba Ilmu di Kampung Terusan, di Juasseh di sini. Mengenai kekurangan guru di SJK Cina yang pada masa ini berjumlah 1,874, Mohd Puad berkata perkara itu sedang diusahakan.

Justeru katanya tindakan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) mengadakan demonstrasi pada Ahad lepas adalah tidak wajar.

"Kita telah memanggil pihak berkepentingan memberi pandangan termasuk Dong Zong dan dan oleh kerana itu mereka tidak perlu mengadakan demonstrasi kerana kita telah mengemukakan penyelesaian.

"Daripada segi jangka pendek adalah dengan melantik guru-guru interim untuk kekurangan guru sama ada SJKC atau SJKT, selain kita telah pun beritahu kita melaksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen," katanya.

Beliau juga menganggap permintaan persatuan itu yang mahu hanya guru boleh berbahasa Mandarin ditempatkan di SJKC sebagai tidak mencerminkan nilai 1Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan