Seminar Pemantapan Akidah Diteruskan Dengan Tajuk Diubah

Diterbitkan: Khamis, 29 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seminar mengenai ancaman murtad anjuran Jabatan Mufti Johor dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor dijadual berlangsung Sabtu ini tetap diteruskan dengan tajuknya diubah.

Anggota Exco Pelajaran negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata tajuk seminar sehari itu diubah kepada 'Liberalisme, Pluralisme dan Gejala Murtad: Apa Peranan Guru Di Dalam Mempertahankan Akidah' yang dijangka dihadiri kira-kira 300 guru agama seluruh Johor.

"Seminar bertujuan memantapkan akidah umat Islam dan ia tidak perlu dipolitikkan mana-mana pihak dengan dakwaan bahawa ia (seminar) merupakan suatu ancaman kepada agama lain," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, pada Khamis.

Maulizan berkata dakwaan yang dibuat oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sesuatu yang tidak perlu dan menggambarkan pemikiran sempit beliau (Anwar).

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Mufti Johor berkata tajuk baru seminar itu tidak akan menjuruskan kepada mana-mana pihak atau agama tertentu.

"Aktiviti Liberalisme dan Pluralisme juga boleh membawa umat Islam ke arah murtad," katanya dan menambah bahawa walaupun tajuk seminar diubah atas sebab-sebab teknikal, kandungan perbincangan tetap sama.

"Seminar merupakan sebahagian daripada hak umat Islam untuk mempertahankan akidah penganutnya daripada sebarang tindakan yang boleh membawa kepada murtad. Ia adalah tanggungjawab kita," katanya.

Beliau berharap guru agama yang terlibat dengan seminar itu akan dapat membimbing murid mereka di sekolah menjauhkan diri daripada kegiatan yang boleh membawa kepada murtad. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan