KDN Haramkan Tiga Buku Ajaran Syiah Dari Indonesia - Jamil

Diterbitkan: Khamis, 29 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga buah buku iaitu Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syi'ah dan Tafsir Sufi Al-Fatihah terbitan Indonesia yang menyebarkan fahaman Syiah diharamkan penjualannya kerana bertentangan dengan pegangan umat Islam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tulisan Murtadha Muthahhari, A Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat itu, awal bulan ini.

Beliau berkata buku-buku itu akan dibawa kepada Seksyen Kawalan Media Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dirujuk ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan sebelum diserahkan kepada KD Nuntuk diwartakan.

"Kerajaan serius membendung penyebaran ajaran Syiah yang mana pada tahun lepas pihak berkuasa turut memberkas empat pengikut ajaran itu yang menganjurkan sambutan hari lahir Fatimah al-Zahra," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan memandang serius berhubung penyebaran ajaran berkenaan di mana pada 25 Ogos tahun lepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merampas 35,000 buku dan risalah mengenainya yang diharamkan KDN setelah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, yang dipercayai menjadi markas penganut fahaman itu.

Jamil Khir berkata pelbagai langkah diambil pihak berkuasa bagi membendung penyebaran fahaman itu termasuk menyebarluaskan fatwa berhubung pengharaman syiah kepada masyarakat melalui ceramah serta media cetak dan elektronik.

"Kerajaan juga turut memantau penyebaran ajaran sesat di negara ini termasuk yang sudah diharamkan dan akan mengambil tindakan sekiranya kembali aktif," katanya.

Menyentuh mengenai isu murtad, Jamil Khir berkata kerajaan telah dan sentiasa menangani isu murtad menerusi mekanisme perundangan yang sedia ada dan akan diperkukuhkan termasuk mengambil kira untuk mewujudkan Akta Murtad.

Katanya, salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu murtad khususnya mengawal perkembangan ajaran bukan Islam kepada orang Islam di Malaysia dari segi perundangan ialah melalui penggubalan undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

"Tindakan ini adalah berdasarkan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal untuk mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam, " katanya.

Selain itu, beliau berkata beberapa negeri telah mempunyai undang-undang yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang diwujudkan untuk mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam demi menjamin kehormatan dan kesucian Islam.

"Negeri-negeri yang telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis," katanya.

Jamil Khir juga berkata Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan membenarkan sebarang iklan yang tidak mempunyai sijil halal disiarkan dengan menggunakan logo halal, dan badan itu sentiasa membuat pemeriksaan ke atas semua iklan yang menggunakan logo halal.

"Jika terdapat iklan yang menggunakan selain logo Halal Malaysia atau logo halal Malaysia tanpa pengesahan sijil pengesahan dari Jakim atau Main (majlis agama islam negeri), maka ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan logo halal adalah berdasarkan kepada Perintah Perihal Dagangan 'Penandaan dan Perakuan Halal' 2011 dan Perintah Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

Persidangan dewan bersambung Isnin. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan