Cuepacs Mahu Suruhanjaya Khas Turut Semak Semula Gred Perkhidmatan Penjawat Awam

Diterbitkan: Khamis, 29 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia supaya turut menyemak semula gred perkhidmatan awam di semua peringkat.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman pada Rabu berkata semakan itu perlu bagi memastikan penjawat awam yang berjumlah 1.4 juta di negara ini akan mendapat manfaat sewajarnya daripada perkhidmatan yang mereka sumbangkan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Sambil menyambut baik penubuhan suruhanjaya khas berkenaan, Omar berkata pihaknya telah mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan menerusi jawatankuasa bertindak yang diwujudkan Cuepacs sebelum ini untuk dibawa serta dibincangkan di peringkat suruhanjaya khas berkenaan.

Omar berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) di sini.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan agar seluruh penjawat awam di negara ini supaya tidak bersikap selesa dengan corak kerja yang diamalkan sebelum ini.

Sebaliknya, katanya semua penjawat awam perlu melakukan transformasi daripada segi sikap serta cara mereka bekerja supaya terus relevan dengan perkembangan serta cabaran semasa.

Ini kerana penjawat awam merupakan satu elemen penting dalam negara ini yang menjadi tulang belakang dan tiang seri kepada kerajaan, katanya.

"Sekarang ini, sektor awam sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan dari segi penambahbaikan gaji, perkhidmatan yang kesemuanya telah ditepati perdana menteri.

"Justeru, jika penjawat awam masih mempunyai daya pemikiran lama dan tidak melakukan transformasi, mereka akan ketinggalan," kata Omar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan