Penglibatan Wanita Dalam Jenayah Mampu Rosakkan Institusi Kekeluargaan

Diterbitkan: Selasa, 27 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbul kebimbangan kini apabila melihat semakin ramai wanita terutama remaja yang terbabit dengan jenayah.

Ini kerana golongan remaja bakal menjadi ibu yang akan mendidik generasi akan datang dan sekiranya mereka sejak awal sudah terpalit dengan jenayah, maka bagaimana rupa generasi yang bakal dilahirkan kelak.

"Ini kerana sekiranya tahap moral seorang wanita itu rendah, lambat laun generasi yang dididik oleh wanita akan lahir dengan nilai moral yang rendah juga," kata Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din kepada Bernama.

Beliau berkata penglibatan wanita dalam jenayah di negara ini semakin serius. "Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah pembabitan kanak-kanak serta remaja perempuan dalam kegiatan jenayah adalah 30 peratus pada 2009 berbanding 10 peratus pada 2005, iaitu meningkat dari 300 kes kepada 1,000 kes," katanya.

Beliau berkata sekiranya seseorang ibu sudah hilang nilai-nilai murni dengan menunjukkan contoh yang tidak baik serta negatif, maka penerapan nilai positif ke atas anak-anak mereka akan terganggu," katanya.

Ditanya sebab wanita turut melakukan jenayah, Mohd Fadzil yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Pertahanan Nasional berkata, ini antara lain berpunca dari desakan naluri untuk mencuba sesuatu yang baru serta usaha untuk meletakkan wanita setanding dengan lelaki, tetapi telah dipesongkan oleh tindakan segelintir yang terlalu cetek pemikiran mereka.

"Cuba untuk melakukan aktiviti baru di usia muda sehingga menyamai aktiviti lelaki dengan cara berkomunikasi secara kasar, merokok, bergaduh, ponteng sekolah yang secara sedar atau tidak mendedahkan mereka untuk melakukan jenayah.

"Nilai baru yang wujud hari ini iaitu seorang perempuan perlu menjadi ganas, kasar dan tidak perlu berlemah-lembut telah menjadi pengaruh serta lambang kemegahan dalam kehidupan sosial masa kini berbanding penerapan nilai-nilai tradisional masa lalu. "Ini ditambah dengan keadaan ibu bapa yang terlalu sibuk dengan karier sementara sikap yang tidak peka dengan keadaan sekeliling menjadi ruang serta peluang seseorang remaja melakukan apa sahaja mengikut naluri dan nafsu mereka," katanya. Mohd Fadzil berkata wanita seharusnya memiliki sikap asertif iaitu ketegasan dan keberanian menyatakan pendapat tetapi bukannya agresif.

"Mereka mempunyai hak untuk mempertahankan apa yang menjadi hak mereka termasuk keselamatan diri mereka sendiri agar tidak ditindas, tetapi haruslah dengan cara yang sewajarnya dan bukannya bertindak agresif, liar sehingga mengganggu hak orang lain (melakukan jenayah)," katanya.

Beliau berkata usaha mengekang penularan pembabitan remaja atau wanita dalam kegiatan jenayah perlu dilakukan dari peringkat awal iaitu bermula daripada institusi kekeluargaan.

"Kanak-kanak perlu dilindungi dari kecil dan dididik dengan didikan yang baik, jadi institusi kekeluargaan yang mantap perlu wujud untuk memainkan peranan dalam memastikan remaja perempuan tidak terlibat dengan perkara yang tidak elok.

"Remaja itu sendiri juga perlu pandai memilih rakan-rakan serta memikirkan hala tuju perjalanan mereka supaya tidak terpesong manakala komuniti pula perlu lebih peka terhadap remaja," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan