Henti Spekulasi Tarikh PRU-13: Syed Ali

Diterbitkan: Selasa, 27 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee meminta semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi berhubung tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, walaupun pelbagai andaian dibuat tetapi akhirnya keputusan untuk mengadakan pilihan raya tetap di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita boleh buat pelbagai andaian tetapi hanya Perdana Menteri saja yang ada kuasa untuk membubarkan parlimen. Kita serahkan perkara itu kepada beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar The Star mengenai spekulasi tarikh PRU-13 yang berkemungkinan diadakan pada September ini dan juga pada Jun yang dijangkakan banyak pihak.

Malah, beberapa isu yang memerlukan masa untuk diselesaikan, menyebabkan lebih ramai penganalisis politik percaya bahawa pilihan raya akan diadakan kemudian berbanding berlaku lebih awal.

"Sebagai ahli politik, saya yakin Perdana Menteri tahu apa yang terbaik untuk Barisan Nasional (BN). Apa jua masalah berbangkit sudah diambil kira oleh beliau," katanya.

Syed Ali berkata, pelbagai program turun padang yang dihadiri Perdana Menteri memberi gambaran awal bahawa tarikh pilihan raya semakin hampir.

"Kita dah bau pilihan raya makin dekat. Kita hanya perlu tunggu isyarat daripada beliau dan sebagai ahli politik, kita harus sedia dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut beliau, jentera parti terutamanya di bahagian Wilayah Persekutuan sudah bersedia 100 peratus untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Tidak kira PRU akan diadakan pada bulan September, awal tahun depan atau bila-bila masa, kita sudah bersedia untuk membantu kerajaan. Kita hanya perlu tunggu semboyan dibunyikan," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan pembohongan dan janji-janji kosong yang cuba ditabur pembangkang sejak kebelakangan ini.

Katanya, rakyat perlu bijak menilai prestasi kerja yang dilakukan oleh kerajaan mahupun parti pembangkang.

"Bagi saya, kerajaan sudah memberikan yang terbaik. Kita tidak akan menabur janji kosong dan akan cuba memenuhi tuntutan dan kehendak rakyat," katanya.

Malah beliau yakin, BN akan dapat menguasai semula lima negeri di bawah pimpinan pakatan rakyat jika rakyat bijak memilih parti yang benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat.

Pada PRU 2008, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan