Air Selangor: Kerajaan Negeri Digesa Henti Main Politik

Diterbitkan: Selasa, 27 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor digesa supaya berhenti daripada terus mempolitikkan isu penstrukturan semula tarif air di negeri berkenaan ekoran pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan Selangor tidak seharusnya menyalahkan kerajaan Pusat dalam isu berkenaan kerana kadar tarif air ditentukan sendiri oleh kerajaan negeri.

Malah tegas beliau, kerajaan negeri turut bertanggungjawab dalam meluluskan pembinaan projek loji rawatan air itu oleh kerajaan Pusat.

"Jangan politikkan kadar tarif air, ia tidak ada kaitan dengan kerajaan Pusat, semua caj air ditentukan sendiri oleh kerajaan negeri dan bukan kerajaan Pusat.

"Saya tidak ada kuasa untuk tentukan kadar harga, ia (penstrukturan kadar air) bukan lagi isu. Saya minta kerajaan negeri beri kelulusan segera kepada kami untuk laksana projek loji air ini demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di sini, Isnin.

Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tertangguh dan mengalami kelewatan kerana kerajaan negeri Selangor masih tidak memberi kerjasama bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Sebelum ini Kerajaan Selangor mengulangi pendiriannya bahawa ia hanya akan memberikan persetujuan kepada projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 setelah penstrukturan semula industri air di negeri itu diselesaikan.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr Xavier Jayakumar, berkata penstrukturan itu akan membolehkan kerajaan Selangor mengurus kadar tarif air dengan lebih rendah berbanding kenaikan sehingga 37 peratus yang dicadangkan syarikat konsesi air terlibat.

Mengulas lanjut Peter Chin berkata, isu penstrukturan semula industri air selangor perlu disegerakan memandangkan pada 2014, dijangkakan krisis air akan berlaku di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya jika tidak di atasi segera.

"Kalau kami ada kelulusan (kerajaan negeri), esok lusa boleh mula, saya ada peruntukan, reka bentuk pun sudah siap.

"Demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, besar harapan saya supaya kerajaan negeri tidak menjadikan isu penstrukturan semula tarif harga sebagai barang tawaran untuk melaksanakan projek ini," katanya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan