24,000 Ahli KWSP Guna Wang Caruman Untuk Daftar Haji Setakat Ini

Diterbitkan: Selasa, 27 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejak dilancarkan 3 Jan lepas, seramai 24,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan caruman mereka untuk mendaftar mengerjakan haji.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kemudahan itu bertujuan memberi peluang kepada ahli KWSP yang berpendapatan rendah menunaikan rukun Islam yang kelima.

"Ahli yang layak menggunakan kemudahan ini adalah mereka yang warganegara Malaysia atau pemastautin yang tetap beragama Islam selain belum mencapai had umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di Tabung Haji.

"Ahli yang berminat juga perlu memastikan mereka mempunyai sekurang-kurangnya RM1,300 di dalam akaun 1 KWSP," katanya dalam kenyataan, Isnin.

Nik Affendi berkata ahli KWSP yang ingin membuat pendaftaran haji dengan Tabung Haji hanya perlu mengemukakan MyKad dan penyata KWSP sebagai bukti.

"Pendaftaran itu boleh dibuat di semua kaunter Tabung Haji, Cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara namum ia tidak mempercepatkan giliran mengerjakan haji yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji.

"Selain itu, ahli KWSP yang telah mendaftar haji sebelum ini boleh menukarnya kepada kemudahan Pendaftaran Haji ahli KWSP tanpa melibatkan penukaran tarikh giliran haji yang telah diberikan sebelum ini," katanya.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh melayari laman web www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my selain menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau Tabung Haji 03-6207 1919. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan