Malaysia Penuhi Komitmen Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Malaysia telah berjaya memenuhi komitmen yang dibuatnya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington pada 2010 termasuk mengukuhkan rangka kerja perundangan yang berkaitan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Nuklear selama dua hari bermula hari ini memberitahu wartawan Malaysia bahawa kerajaan sedang di peringkat akhir meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom untuk menjadikannya satu undang-undang nuklear yang menyeluruh.

Ini akan membolehkan Malaysia menerima pakai Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear (CPPNM), Konvensyen Antarabangsa Bagi Membanteras Kegiatan Keganasan Nuklear (ICSANT) dan Protokol Tambahan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta pelbagai peraturan yang ditetapkan oleh IAEA.

Muhyiddin berkata Malaysia sentiasa berusaha mengukuhkan bentuk kawalan eksport global, dan dalam hal ini, Akta Perdagangan Strategik (STA) dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2011.

"Undang-undang ini membolehkan Malaysia menyumbang kepada usaha global bagi membendung kegiatan menghasilkan senjata kemusnahan besar-besaran," katanya.

Muhyiddin berkata Malaysia bersetuju menerima pakai Kenyataan Prinsip Bagi Inisiatif Global Membanteras Keganasan Nuklear (GICNT).

Dalam usaha membendung penyeludupan pula, Malaysia melaksanakan Inisiatif Keselamatan Kontena (CSI) dan Inisiatif Pelabuhan Mega selain menyokong peraturan IAEA mengenai Keselamatan Sumber Radioaktif dan Garis Panduan Mengimport dan Mengeksport Bahan Radioaktif.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia terus bekerjasama dengan IAEA dan negara-negara lain, sama ada secara dua hala atau di peringkat serantau, bagi meningkatkan latihan dan kesedaran serta kemampuan, sama ada untuk rakyat Malaysia mahupun dari negara lain.

Malaysia telah menganjur pelbagai program antarabangsa, serantau dan dua hala berkaitan keselamatan nuklear.

Muhyiddin berkata segala persiapan ke arah itu perlu dibuat dengan mengambil kira bahawa satu hari nanti Malaysia tidak mempunyai pilihan apabila sumber minyak berkurangan dan harga minyak naik dan terpaksa beralih kepada sumber nuklear sebagai satu sumber menjana tenaga.

Katanya Malaysia bernasib baik kerana wujud sumber alternatif seperti solar, hidro dan angin yang belum dieksploitasi sepenuhnya.

Beliau berkata pakar-pakar nuklear boleh memainkan peranan memberi penjelasan dan kesedaran mengenai teknologi nuklear malahan ini boleh dimulakan di peringkat pelajar dan juga melalui program komuniti. "Menjana tenaga menerusi sumber nuklear ini mengambil masa, jadi dalam tempoh masa inilah harus dijelaskan kepada rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata Malaysia sudah terlibat lebih 30 tahun dalam penyelidikan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan, malahan sudah ada 300 pakar dalam bidang itu.

Dalam isu Lynas, katanya, kerajaan dan pakar-pakar bebas sudah membuat penjelasan namun masih ada pihak termasuk pembangkang yang sengaja tidak mahu memahami isu ini.

"Ini bagi kita satu iktibar bagaimana di masa depan untuk kita mengurus hal berkaitan teknologi nuklear supaya rakyat lebih faham dan menerimanya," kata Timbalan Perdana Menteri. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan